Kelantan turunkan harga pasir RM10.60 bagi satu tan

Kelantan turunkan harga pasir RM10.60 bagi satu tan

Datuk Hanifa AhmadKerajaan Kelantan hari ini menetapkan harga pasir kasar di negeri itu kepada RM10.60 bagi satu tan berbanding RM12 untuk berat sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan rakyat, pengusaha pasir dan kerajaan negeri.

“Harga yang ditetapkan ini bagi memastikan pembeli pasir dapat membeli pasir dengan harga munasabah, pengusaha pasir boleh meneruskan perniagaan masing-masing dan kerajaan negeri mendapat royalti yang sepatutnya untuk menampung kos infrastruktur.

“Kita turunkan harga sehingga 20 peratus ini dengan harapan rakyat akan dapat membeli pasir untuk keperluan pembinaan dengan lebih murah sekali gus menyangkal dakwaan kerajaan negeri menaikkan harga pasir seperti yang tersebar sebelum ini (dalam media sosial),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Hanifa berkata penetapan harga tersebut juga adalah hasil persetujuan daripada perbincangan bersama 10 wakil daripada 77 pengusaha pasir seluruh Kelantan, baru-baru ini.

Beliau berkata sejak lima tahun kebelakangan ini sehingga 31 Disember 2016, royalti jualan pasir tidak pernah dinaikkan oleh kerajaan negeri dan harga melambung seperti yang disebarkan itu adalah dinaikkan oleh pengusaha pasir sendiri.

“Kita harap semua persoalan berhubung isu harga pasir akan selesai dan pengusaha pasir dapat mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan kerajaan negeri,” katanya.

Antara syarat itu ialah pengusaha pasir di Kelantan telah menjalankan operasi pengeluaran pasir selama dua tahun pada 2015 dan 2016, mempunyai rekod bayaran royalti sekurang-kurangnya enam bulan dalam setahun, dan menggunakan pengangkutan daripada syarikat yang berdaftar dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan sahaja.

Dalam pada itu, Hanifa berkata bilik gerakan khas telah dibuka di PTG dan pejabat tanah bagi memudahkan orang ramai membuat aduan dengan mengemukakan resit bayaran jika pengusaha pasir gagal mematuhi penjualan pasir pada harga yang telah ditetapkan itu.

TAGS