Malaysia Dateline

Kelantan wajib komited urus sumber hutan secara lestari, mampan

Bahagian 1
Ada cadangan melombong bijih besi di Hutan Simpan Ulu Galas

Kelemahan pengurusan sumber hutan di Kelantan adalah kerana dasar kerajaan negeri yang dilihat menggalakkan dan memberi kelulusan mengeksploitasi kawasan tanah berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) kepada lain-lain guna tanah pada skala yang besar.

Keluasan HSK di negeri Kelantan pada tahun 2017 ialah 613,275 hektar. Selain itu terdapat juga beberapa sumber hutan lain yang berstatus Tanah Kerajaan (di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri) dan Hutan Perlindungan (di bawah bidang kuasa agensi Kerajaan Persekutuan).

Lebih-kurang 30 peratus daripada keluasan HSK di negeri Kelantan telah ditukar kepada lain-lain guna tanah selain guna tanah hutan. Ini bermaksud walaupun status tanah adalah HSK tetapi tidak semestinya ianya dilitupi oleh guna tanah hutan.

Perangkaan pada 2017 menunjukkan, guna tanah lain selain guna tanah hutan dalam HSK di Kelantan ialah kegiatan dan zon yang telah ditetapkan untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang hutan (selepas ini disebut ladang monokultur) iaitu kira-kira 27 peratus daripada keluasan HSK di negeri Kelantan.

Lebih kurang tiga peratus lagi dilitupi guna-tanah pertanian (terutama kelapa sawit dan durian ‘musang king’), perlombongan, pengkuarian dan infrastruktur tertentu.

Tanah tinggi di Lojing, Gua Musang botak ditarah dalam tinjauan KUASA pada Ogos lalu.

Ada pihak mendakwa kononnya keluasan HSK di negeri Kelantan adalah yang terbesar di Semenanjung Malaysia berbanding negeri-negeri lain.

Tetapi jika ditukar kepada skala peratus, negeri yang mempunyai keluasan HSK terbesar di Semenanjung Malaysia berbanding keluasan tanah negeri adalah Perak iaitu kira-kira 47 peratus, diikuti Pahang kira-kira 44 peratus dan Kelantan pula sekitar 41 peratus.

Keluasan tahunan HSK yang diluluskan untuk pengusahasilan mengikut ketetapan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan amalan Sistem Pengurusan Tebangan Memilih (SMS) tidak mengambarkan realiti sebenar pengurusan hutan secara lestari dan mampan di negeri Kelantan.

Paling membimbangkan, terdapat juga kawasan HSK di negeri Kelantan yang diluluskan untuk pengusahasilan bagi tujuan selain guna-tanah hutan yang tidak tertakluk kepada CTT, tidak tertakluk kepada SMS dan juga tidak tertakluk kepada pensijilan pengurusan hutan.

Terkini ialah cadangan kegiatan perlombongan bijih besi di Hutan Simpan Ulu Galas (HS Ulu Galas), Jajahan Gua Musang.

Malah, Unit Pengurusan Hutan (UPH) Kelantan tidak berjaya mengekalkan pensijilan pengurusan hutan mengikut Kriteria dan Petujuk bagi Pensijilan Pengurusan Hutan di Malaysia [MC&I (Hutan Asli)].

 

*Penulis merupakan Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Pembalakan ‘cuci mangkuk’ di ketinggian melebihi 600 hingga 1,000 meter dari aras laut berleluasa di hutan Kelantan.