Kelantan Warriors mampu capai sasaran empat pasukan terbaik

Kelantan Warriors mampu capai sasaran empat pasukan terbaik

Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) yakin Kelantan Warriors mampu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik pada kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

Presiden GASTAK, Zuraidin Abdullah berkata keyakinan itu berdasarkan kepada prestasi semasa pasukan Kelantan Warriors pada aksi sebelum ini.

“Pada pusingan pertama, pasukan kami berjaya memenangi enam daripada sembilan perlawanan sekali gus menduduki tangga keempat liga dengan 12 mata, dan hanya dua mata di belakang pendahulu liga, Penang Black Panthers.

“Kami yakin dengan kemenangan sebelum ini akan memberi lebih motivasi kepada pasukan bagi menghadapi cabaran lebih getir di Gem In Mall, Cyberjaya minggu ini (bermula Jumaat),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada masa ini, Kelantan Warriors berada di tangga keempat carta STL dengan 12 mata hasil enam kemenangan dan tiga kekalahan.

Zuraidin berkata sasaran pihaknya sebelum ini untuk menduduki kelompok empat terbaik pada pusingan pertama telah berjaya dicapai.

“Kami mahu pada saingan pusingan kedua nanti pasukan berjaya kekalkan prestasi dan dapat memperbaiki kedudukan liga.

“Pemain perlu mengambil pengajaran daripada tiga kekalahan yang dialami pada pusingan pertama bagi memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan sama kerana sasaran kami ialah berada di kedudukan empat terbaik liga untuk layak ke Piala Juara-juara,” katanya.

— BERNAMA