Malaysia Dateline

Kelayakan SPM ramai dicari, tidak banyak kerja kosong untuk lepasan universiti

Aktivis, Rahman Imuda mendedahkan pasaran buruh di negara ini bermasalah apabila peluang kerja lebih banyak untuk kelayakan akademik SPM dan ke bawah.

Menurut pengarang buku ‘Malaysia Tamat Tempoh’ itu, kekurangan kekosongan kerja untuk lepasan universiti menyebabkan golongan tersebut terpaksa bekerja di bawah kelayakan.

“Melalui portal MYFutureJobs SOCSO, terdapat 266,279 kekosongan kerja yang ada. Daripada kekosongan kerja ini, (201,297) 76% majikan mencari pekerja dengan kelayakan akademik SPM dan ke bawah.

“Untuk pencari kerja pula, 121,429 (46%) adalah mereka yang ada ijazah sarjana muda.
Hanya 71,497 (27%) yang pencari kerja yang ada kelayakan SPM dan ke bawah.

“Ia menunjukkan betapa bermasalahnya pasaran buruh kita. Ini merupakan sebab mengapa orang terpaksa bekerja di bawah kelayakan akademik mereka,” katanya.

Beliau berpendapat kekurangan tawaran kerja untuk siswazah menyebabkan berlakunya lambakan graduan yang tidak mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan yang dimiliki.

“Setiap tahun pula universiti menambah kadar pengambilan dan institusi pengajian tinggi swasta tumbuh dengan subur.

“Akhirnya, lambakan graduan terpaksa bekerja di bawah kelayakan. Kemudian, orang salahkan graduan kata tidak mahir bahasa Inggeris atau kurang kemahiran insaniah (soft skills).

“Hakikatnya, memang tidak banyak kerja untuk graduan,” tegas Rahman lagi.