Malaysia Dateline

Kelemahan pengurusan politik cetus peningkatan Covid-19

Sudah setahun berlalu sejak Malaysia mencatatkan kes Covid-19 pertama pada tanggal 25 Januari 2020. Peningkatan kes terkini di Malaysia adalah suatu badai teruk yang berpunca daripada kerajaan tanpa keabsahan, struktur birokrasi yang menghambat pendekatan menyeluruh kerajaan, dan ketaksuban displin fiskal pada waktu yang salah.

Gelombang ketiga penularan jangkitan wabak telah bermula pada bulan September tahun lalu di salah sebuah pusat tahanan di Sabah dan merebak apabila ahli politik dan sukarelawan parti mengunjungi Sabah untuk berkempen dalam pilihan raya negeri. Dengan kes harian kerap melangkaui 3,000, ternyata pendemik kini adalah diluar kawalan kita. Pada 23 Januari, kes harian Covid-19 telah mencatatkan angka tertinggi di Malaysia dengan rekod 4,275 kes sehari.

Pada 11 Januari, kerajaan Perikatan Nasional telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 untuk mencegah penularan Covid-19. Pada 12 Januari pula, Yang di-Pertuan Agung mengisytiharkan darurat atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dirundung kemelut politik. Sejak awal tahun ini, lima daripada 32 anggota kabinet didapati positif Covid-19.

Selama berbulan, pekerja kesihatan telah mendesak kerajaan untuk mengutamakan kemudahan hospital yang terhad, khususnya katil di unit rawatan rapi dan alat bantuan pernafasan, untuk kes kritikal. Baru-baru ini sahaja, Kementerian Kesihatan akhirnya menurut saranan yang dikemukakan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk membenarkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala atau menunjukkan gejala ringan supaya menjalani kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, masih lagi keberatan untuk menggunakan kit ujian pengesanan antigen bagi tujuan ujian saringan besar-besaran. Beliau lebih cenderung bergantung kepada ujian pengesanan PCR. Walaupun sememangnya ujian ini lebih tepat, kosnya agak mahal dan mengambil tempoh proses yang lama disebabkan kekangan kemampuan makmal.

Pelaksanaan ujian saringan kepada kontak rapat yang tidak bergejala masih belum dijadikan sebahagian SOP Kementerian Kesihatan meskipun kes tidak bergejala atau bergejala ringan merangkumi sebahagian besar keseluruhan kes Covid-19. Peningkatan kes secara mendadak dan kekangan sumber manusia menyebabkan usaha pengesanan kontak diabaikan.

Berbeza dengan negara yang mengamalkan sistem federalisme yang mana hal ehwal kesihatan merupakan tanggungjawab bersama kerajaan persekutuan dan negeri atau kerajaan tempatan, sistem kesihatan di Malaysia terletak dibawah kerajaan persekutuan. Semua hospital di seluruh negara terletak dibawah pengawasan seorang sosok, iaitu Ketua Pengarah Kesihatan.

Perkhidmatan awam Malaysia di peringkat persekutuan mengambil model struktur negara India. Kesemua pegawai kerajaan dilatih dengan kemahiran umum dan kemudiannya ditempatkan di kementerian berbeza secara bergilir-gilir. Contohnya, seorang Setiausaha Kementerian Pertanian boleh dipindahkan ke Kementerian Pertahanan tanpa sebarang halangan.

Berbeza pula bagi sektor kesihatan, angkatan tentera, polis, kerja raya dan pendidikan, serta beberapa sektor kerajaan lain, yang mempunyai seorang ketua yang dipilih daripada bidang mereka tersendiri. Ketua Pengarah di Kementerian Kesihatan ialah doktor No.1 negara yang bertanggungjawab ke atas sistem kesihatan. Bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian, yang membina kerjayanya menerusi sistem perkhimatan awam, kedua-duanya melapor kepada Menteri Kesihatan, seorang ahli politik yang memenangi pilihan raya ataupun dilantik.

Seorang Menteri pula merupakan anggota kabinet yang perlu membuat keputusan negara secara kolektif menerusi mesyuarat mingguan.

Setelah menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac tahun lepas melalui rampasan kuasa parlimen, Muhyiddin telah mengambil risiko yang besar dengan mengumumkan PKP hanya beberapa hari selepas menamakan anggota kabinetnya pada 9 Mac. Perintah ini berkuatkuasa pada tengah malam 18 Mac, memberi ruang yang suntuk bagi menteri-menteri baharu yang berada di luar Lembah Klang untuk mencari tempat tinggal apatah lagi mempelajari berkenaan kementerian masing-masing.

Penampilan pertama Menteri Kesihatan baharu, Datuk Seri Dr. Adham Baba, di kaca televisyen pada 19 Mac merupakan suatu ‘malapetaka’ perhubungan awam bagi kerajaan baharu ini. Beliau menasihati orang awam supaya minum air suam untuk ‘menyingkirkan’ virus ke dalam perut. Seorang doktor, yang pernah mengendali sebilangan klinik swasta di pekan-pekan kecil, menerima kecaman netizen di media sosial sehingga penasihat media Perdana Menteri mengarahkan beliau untuk tidak tampil di khalayak awam lagi.

Menteri sebelumnya, Dr. Dzulkifli Ahmad, telah mengendalikan sidang media harian taklimat Covid-19 sebelum rampasan kuasa Sheraton. Apabila Adham ‘direhatkan’ daripada menjadi jurucakap kementerian, Noor Hisham pula mengambil alih tanggungjawab tersebut. Beliau dilihat sebagai sosok yang tenang di tengah-tengah lautan politik yang bergelora.

Kepemimpinan yang ditonjolkan Ketua Pengarah Kesihatan menjadi kayu ukur ‘prestasi keabsahan’ pentadbiran Muhyiddin dan mengharumkan nama Perdana Menteri yang dikatakan telah berjaya melandaikan lengkok pandemik. Tiba bulan Jun, Muhyiddin telah mula terbayang untuk memanggil pilihan raya mengejut sebagai usaha menambah jumlah majoriti parlimen yang tipis dan peroleh kemenangan dengan mandat yang kukuh untuk mentadbir.

Ironinya, percaturan politik yang tidak henti-henti dan lonjakan kes Covid-19 yang baharu telah menyebabkan populariti beliau terus menjunam sejak bulan Oktober. Hal ini mendorong kepada lebih banyak pertaruhan politik.

Keadaan bertambah keruh apabila ‘titik buta’ dan kecenderungan peribadi Noor Hisham semakin terserlah ditengah-tengah penularan gelombang yang terkini. Hal ini termasuk contoh seperti keberatan beliau untuk menggunakan kit ujian pantas, keengganan melakukan ujian saringan kepada kontak rapat tidak bergejala, dan tumpuan khusus kepada pendekatan dominan Kementerian Kesihatan. Satu rombakan kabinet untuk meletakkan Menteri Kesihatan yang lebih berkebolehan mungkin dapat menawarkan kepemimpinan politik yang diperlukan.

Meskipun pengendali-pengendali hospital swasta mengatakan bahawa mereka pernah menawarkan bantuan kepada kerajaan sebelum ini, mereka hanya dilibatkan pada minggu lepas menerusi perintah darurat yang diisytiharkan di seluruh negara. Perintah darurat ini dikatakan dapat memberi kuasa kepada kerajaan untuk mendesak pengendali hospital menerima pesakit Covid-19 untuk pertama kalinya.

Malaysia mempunyai perkhidmatan kesihatan dwi-sistem, tetapi kebanyakan hospital swasta yang meraih keuntungan di bandar dimiliki oleh institusi dana berdaulat (sovereign funds) atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang hanya beroperasi seperti entiti swasta. Terdapat juga begitu banyak klinik swasta, yang menawarkan perkhidmatan yang berpatutan kepada pesakit luar, tetapi masih belum digerakkan untuk memerangi Covid-19.

Malaysia tidak bertindak secara agresif berbanding beberapa negara jiran dalam usaha memperoleh vaksin. Rata-rata pemerhati tergamam apabila negara kita terlepas tarikh akhir untuk menyertai fasiliti Covax yang disokong WHO. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, seorang anggota kabinet yang agak berkemampuan, kelihatan lebih menonjol apabila beliau mengetuai usaha meletakkan mendapatkan vaksin di landasan asal. Menurut laporan, bekalan vaksin bakal tiba di Malaysia pada lewat Februari.

Sudahlah kebolehan dan kepemimpinan politik dalam menguruskan Covid-19 lemah dan hanya bergantung kuat kepada Noor Hisham, ketaksuban kerajaan terhadap “tanggungjawab dan disiplin fiskal” ketika krisis sebegini juga mendatangkan pelbagai masalah.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, seorang pegawai bank sepanjang kerjaya beliau, masih lagi menekankan soal disiplin fiskal dan berusaha mengimbangi penyata negara. Tidak ada kesanggupan politik untuk berbelanja terhadap langkah-langkah pengendalian Covid-19 secara besar-besaran, walaupun saya telah menggesa kerajaan untuk mengaji berpuluh ribu orang pengesan kontak dan pekerja kesihatan barisan hadapan – bukannya sekadar mengarahkan majikan menghantar pekerja asing untuk menjalani ujian saringan dengan menanggung kosnya sendiri, contohnya.

Terdapat 1.6 juta orang warga asing dengan dokumen yang sah bekerja di Malaysia dan dijangka berjuta-juta lagi warga asing tanpa dokumen yang sahih. Kini, hampir dua bulan selepas arahan “mandatori” ujian saringan dikeluarkan, hanya kurang 200,00 orang pekerja asing telah disaring dan masih ramai tidak dapat dikesan.

Bagi pendekatan kesihatan Covid-19, sudah tiba masanya kerajaan mengakui bahawa ini adalah masa yang tepat untuk “melupakan” tanggungjawab fiskal – asalkan perbelanjaan tambahan tersebut tidak menyumbang kepada peningkatan rasuah.

Namun, pemikiran lama masih lagi menebal. Penjara di Malaysia kini mempunyai 70,000 orang banduan, melebihi anggaran kapasiti 52,000 orang yang telah ditetapkan. Lebih 10 peratus banduan dan kakitangan penjara positif Covid-19 dan saya bersama-sama dengan Datuk Seri Azalina Othman, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan ahli parlimen kerajaan, telah berulang kali menggesa Kementerian Dalam Negeri menguruskan masalah kesesakan penjara, tetapi tiada iltizam politik untuk melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza.

Covid-19 telah telah mendedahkan perpecahan politik Malaysia, kekangan birokrasi dan kapasiti negara (atau kekurangannya) secara umum untuk berhadapan dengan krisis. Sudah tiba waktunya pentadbiran Muhyiddin menggunakan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat sebagai usaha melawan virus ini.

*Tulisan ini pertama kali diterbitkan di South China Morning Post pada 26 Januari 2021.