Kelembapan ekonomi global dijangka stabil pada suku keempat

Kelembapan ekonomi global dijangka stabil pada suku keempat

Kelembapan ekonomi global yang berlaku sekarang dijangka stabil seawal suku keempat ini, kata seorang pengurus aset global.

Ketua Pegawai Pelaburan Strategi Portfolio Utama (CIO) Todd Jablonski berkata unjuran itu adalah berdasarkan kepada trend dua kelembapan ekonomi sebelum ini selepas krisis kewangan global pada 2009.

Bercakap di luar acara Sidang Kemuncak Asia Utama 2019, di sini, Khamis, beliau berkata kelembapan ekonomi pertama berlaku serentak dengan krisis hutang Eropah pada 2012 yang berakhir selama 20 bulan.

Kelembapan kedua berlaku pada 2016, disebabkan oleh krisis komoditi, stabil selepas 17 bulan, manakala kelembapan ekonomi yang berlaku sekarang telah berlangsung selama 20 bulan.

“Data makroekonomi yang kita lihat, terutamanya petunjuk Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) di Asia, menunjukkan aliran negatif semakin menurun,” katanya sambil menambah ini menunjukkan bahawa ekonomi mungkin bertambah baik pada suku keempat 2019 atau pada awal 2020.

Jablonski berkata ekonomi global juga tidak dijangka jatuh ke dalam kemelesetan tetapi akan menghadapi gangguan kecil.

“Saya fikir terdapat risiko kejutan pada tahap lebih tinggi berbanding pasaran normal, tetapi perkara itu boleh diambil kira dalam pasaran dengan lebih pantas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan harga minyak akan kekal lemah pada tahun depan berikutan lebihan bekalan.

“Terdapat banyak pengeluar yang boleh menghasilkan kuantiti tenaga sebanyak itu. Saya fikir bekalan perlu dikurangkan sedikit sebelum kita melihat kenaikan harga minyak semula,” katanya.

Sidang Kemuncak Asia Utama 2019 anjuran Principal Asset Management Bhd yang bertemakan “Melabur dalam Era Risiko yang Semakin Memuncak” itu menumpukan kepada bagaimana pelabur boleh mencari peluang dalam persekitaran tidak menentu, keadaan mencabar dan risiko yang meningkat.

Acara sehari itu disertai kira-kira 300 peserta, terdiri daripada pengurus aset, ahli perbankan dan para pelabur.

Principle Portfolio Strategy adalah cabang pelaburan dalam Principal Global Investors LLC, sebuah syarikat pengurusan aset global yang berpangkalan di Amerika Syarikat.– BERNAMA