Malaysia Dateline

Keletihan selepas 4 hari terlibat dalam operasi SAR, Pengarah Bomba Selangor alami minor strok

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali berjalan secara berterusan oleh pasukan penyelamat.

Akibat keletihan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis dimasukkan ke Hospital Selayang pukul 6 petang semalam akibat minor strok selepas terlibat selama empat hari dalam operasi SAR.

JBPM Selangor dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya memberitahu, keadaan beliau terkawal dan masih sedarkan diri.

“Operasi mencari mangsa tetap dijalankan. Sama-samalah kita berdoa semoga kesihatan beliau kembali pulih.

“Semoga Dato Wira Merah diberikan kesembuhan segera,” kata JBPM Selangor.

Operasi mencari sembilan lagi mangsa tanah runtuh masuk hari keempat namun masih belum ada perkembangan terbaharu.

Tanah tebal dan berlumpur dengan runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter menghempap tubuh mangsa dalam kejadian kira-kira jam 2.24 pagi itu.

Sebelum ini, Norazam memberitahu mangsa yang ditemui tertimbus pada kedalaman tanah antara kedalaman 0.9 hingga 1.5 meter hasil penggalian menggunakan jengkaut dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Kelmarin, dua alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) mula digunakan dalam mengecilkan skop lokasi pencarian mangsa di semua sektor iaitu A, B dan C.

Sektor A melibatkan kawasan sekitar Hill View, sektor B melibatkan kawasan sekitar Farm View manakala sektor C meliputi kawasan River Side.

Tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor merupakan yang terburuk dalam tempoh 29 tahun selepas bencana melibatkan Highland Towers yang meragut 48 nyawa pada 11 Disember 1993.