Kelindan tersepit selepas kemalangan, pemandu panik terus pandu ke bahagian kecemasan hospital

Oleh KIM SYAZIE

Petugas Hospital Jitra dikejutkan dengan kehadiran lori di bahagian kecemasan bersama mangsa yang masih tersepit dalam kenderaan.

Difahamkan, lori terbabit baru sahaja terlibat dengan kemalangan melibatkan mesin padi di Jalan Sungai Korok, Jitra, Kedah.

Tidak mahu menunggu lama setelah melihat pembantunya tersepit, dia terus bergegas ke hospital untuk bantuan.

Menerusi video yang tular di laman aplikasi TikTok, beberapa kakitangan hospital dilihat berusaha mengeluarkan mangsa dengan berhati-hati.

Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa kemudian segera di bawa masuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata pemandu terbabit hanya mengalami kecederaan ringan manakala pembantunya di rawat di Zon Merah.

“Pemandu lori didapati hanya mengalami kecederaan ringan, sementara kelindannya (pembantu) tersepit di tempat duduk penumpang.

“Melihat keadaan itu, petugas hospital berusaha mengeluarkan kelindan dan berjaya melakukannya. Kelindan lori tersebut terus dibawa ke zon merah untuk diberi rawatan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pemandu itu dibenarkan pulang ke rumah setelah selesai rawatan manakala penbantunya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Hal ini kerana, kelindan lori itu mengalami kecederaan pada bahagian abdomen dan dihantar ke HSB di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Baca juga: Bayar RM3.36 juta demi kucing, warga emas ditipu rakan atas talian