Malaysia Dateline

Kelompok petani mana yang terima manfaat RM100 juta?

Pengumuman peruntukan RM100 juta oleh Kementerian Pertanian Industri Makanan (MAFI) bagi membantu petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir yang sedang melanda negara ketika ini dipersoalkan.

Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani Datuk Mazlan Aliman membangkitkan persoalan kepada kementerian terbabit, kelompok petani yang mana bakal menerima peruntukan tersebut.

Kata Mazlan setahu beliau Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sahaja yang ada ketika ini.

“Pertubuhan Gerak Tani mengalu alukan pengumuman Timbalan Menteri 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah di Temerloh kelmarin.

“Namun tidak pasti, kelompok petani dan penternak yang bagaimana menerima manfaatnya.

“Adakah bersifat adhoc, sebagai janji atas keprihatinan kepada petani atau bagaimana. Ia harus dijelaskan.
Aduan yang selalu diterima, bantuan banjir dulu pun tak dapat lagi,” soal beliau dalam kenyataan.

Beliau juga meminta kerajaan menunaikan dahulu janji-janji lama yang belum tertunai sebelum membuat janji baru.

“Kita telah memasuki tahun 2022. YAB PM telah menyebut mengenai pertanian pintar. Sejauhmana pelan strategik mengenainya benar benar dirangka dan dilaksanakan agar tidak mengulangi ‘kegagalan masa lalu’,” katanya lagi.

Menurut Mazlan, beberapa isu pokok yang masih belum dapat diselesaikan misalnya sumber alternatif tempatan sedia ada seperti karbohidrat dan protein, masih gagal dibangunkan di samping bahan import mencanak naik.

“Pada tahap mana revolusi pertanian yang berasaskan pertanian moden dan pertanian industri negara kita?

“Ada dakwaan mengatakan kita kian tertinggal dari negara jiran mengenai inovasi pertanian. Maaf, import bukan jawapan tapi sekadar nak survive, jangan sampai rakyat ‘mati kelaparan’.

“MAFI ada 13 agensi dan jabatan. Ribuan kakitangan secara tetap maupun kontrak. Anda menjadi harapan masyarakat tani,” katanya lagi.