Malaysia Dateline

Kelonggaran diberi walau kurang 33 peratus populasi dewasa lengkap divaksin

Bermula hari ini, individu yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin dan menetap di negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

Enam negeri yang terbabit dalam fasa tersebut ialah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah.

Walau bagaimanapun, semakan Malaysia Dateline mendapati hanya antara 17.1 peratus hingga 32.4 peratus populasi dewasa di kesemua negeri terbabit sudah menerima vaksin lengkap menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Rekod Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sehingga 8 Ogos yang dikongsikan Menteri Kesihatan semalam menunjukkan Sabah bahkan menjadi negeri terendah peratusan populasi dewasanya lengkap divaksin iaitu hanya 17.1 peratus.

Sementara itu, cuma 25.5 peratus populasi dewasa di Kelantan lengkap menerima dua dos suntikan vaksin diikuti Pahang (26.3 peratus), Pulau Pinang (28.8 peratus), Perak (30.2 peratus) dan Terengganu 32.4 peratus.

Kadar rendah vaksinasi lengkap dikesemua negeri itu dilihat masih jauh daripada mencapai imuniti kelompok yang sepatutnya iaitu 80 peratus populasi mendapat suntikan dos lengkap vaksin Covid-19.

Sehubungan itu, keputusan kerajaan untuk memberikan kemudahan sektor sosial kepada individu vaksin lengkap dan menetap di negeri fasa 2 dan ke atas di bawah PPN termasuk dibenarkan makan di kedai mengundang kebimbangan lonjakan penularan Covid-19 selepas ini.

Rata-rata pengamal perubatan sebelum ini telah mengingatkan lengkap imunisasi bukan ‘lesen’ untuk kebal daripada jangkitan Covid-19.

Walaupun kelonggaran diberi termasuk untuk aktiviti sukan tanpa sentuhan fizikal dikatakan dapat merangsang kembali sektor ekonomi tetapi golongan bawah umur, iaitu kanak-kanak dan bayi masih belum lagi dibenarkan mengambil vaksin Covid-19.

Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada mereka yang sudah lengkap dos vaksin seperti diumumkan Perdana Menteri pada 8 Ogos lalu juga dilihat bercanggah dengan penegasan Kementerian Kesihatan (KKM) sehari sebelum itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 7 Ogos mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ekoran ‘keupayaan’ virus Covid-19 varian Delta yang dianggap dominan dan cepat menular.

“Duduk di rumah, tolong hadkan pergerakan dan perjumpaan skala lebih besar. Patuhi semua SOP, penting pemakaian pelitup muka dan elak berada dalam ruang yang mempunyai aliran udara teruk dan tempat yang sesak,” katanya.

Varian Delta adalah varian membimbangkan (VOC) yang dikesan pada akhir 2020 di India, kini menghantui dunia apabila varian itu mengganas dengan kadar penularan yang pantas sehingga menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di banyak negara.

Varian yang merebak melalui udara itu juga boleh merebak dalam tempoh hanya 15 saat dan boleh menyebabkan gejala dan komplikasiya yang lebih teruk.