Malaysia Dateline

Kelonggaran kepada peminjam di bank dalam tempoh kawalan pergerakan

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dijalankan, kerajaan dicadangkan untuk menyusun atur semula struktur kehidupan rakyat di negara ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pendapatan rakyat di negara ini pastinya terjejas akibat dari arahan kerajaan tersebut.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan perlu menstrukturkan segala perkara termasuk perbankan agar memberi kelonggaran kepada peminjam untuk melunaskan pinjaman mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Saya menyarankan agar kerajaan mengambil langkah yang lebih terperinci untuk membantu rakyat seperti perbankan untuk memberikan kelonggaran kepada peminjam dalam tempoh kawalan pergerakkan ini,” ujarnya.

Beliau dalam satu kenyataan media oleh Parti Amanah Johor berkata, selain peminjam di bank-bank negara ini, fokus kepada rakyat yang berpendapatan rendah turut dipersoalkan.

Soalnya lagi, bagaimana persediaan kerajaan terhadap bantuan dan keperluan asas untuk golongan fakir miskin di negara ini?

“Perintah larangan berkerja selama dua minggu, kecuali bagi perkhidmatan kritikal bakal memberi impak pada pendapatan rakyat khusus yang berkerja sendiri dan yang bergaji.

“Selain imbuhan RM 600 yang diumumkan oleh kerajaan, disarankan juga agar pihak kerajaan bersedia dalam pelbagai sudut untuk membantu meminimakan impak terhadap golongan B40 dan M40.

“Kita dapat saksikan pelbagai kekeliruan dalam arahan Perintah Kawalan Pergerakkan ini sehingga timbul perasaan panik di kalangan rakyat di negara ini. Justeru itu arahan dari kerajaan perlulah menyeluruh dan membumi agar rakyat tidak keliru,” ujarnya lagi.

Semalam dalam kenyataan media Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda bersama Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong turut menyarankan agar kerajaan memberi tempoh lebihan masa kepada rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura.

“Kami menyarankn agar Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Dewan Negeri (Adun) Johor dan Majlis Keselamatan Negara secara keseluruhannya memberikan kelonggaran syarat Perintah kepada warga negara di Johor yang berkerja di Singapura.

“Dicadangkan kelonggaran diberikan untuk mereka meneruskan perjalanan selama dua hari tambahan. Lanjutan tempoh ini diharapkan dapat membolehkan majikan dan pekerja mengatur dan membuat persediaan yang sewajarnya.

“PH Johor berharap agar bantuan kebajikan lain dapat diberikan kepada warga Johor yang keluar masuk untuk berkerja di Singapura yang terpaksa berhadapan pelbagai risiko ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang holistik perlu digariskan supaya semua pihak dapat membuat persediaan bagi menghadapi impak ekonomi wabak Covid 19,” tegas kenyataan media tersebut.

Seramai lebih 300,000 pekerja di negara ini yang berulang alik dari Johor ke Singapura setiap hari menjadi panik dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan 16 Mac 2020 yang lalu.