Keluar dewan sandiwara pembangkang, kata Mahathir

Keluar dewan sandiwara pembangkang, kata Mahathir

Isu berhubung pelantikan Yang DiPertua Dewan Rakyat yang baharu tidak harus timbul memandangkan surat pelantikan sudah ditandatangani pada tarikh yang sepatutnya.

“Tiada back dated. Surat sudah disediakan lebih awal dan apabila saya menandatanganinya, baru diletakkan tarikh,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah juga telah memaklumkan Dewan bahawa surat pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof telah diterima bertarikh 2 Julai.

Sebelum itu pihak pembangkang telah menegaskan bahawa proses pelantikan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang DiPertua Dewan Rakyat bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 4(1).

“Terdapat tiga elemen dalam pelantikan Speaker iaitu calon itu sedia menerima pencalonan, diberitahu secara bertulis kepada Setiausaha Dewan dan tidak kurang dari 14 hari dari tarikh persidangan, iaitu pada 2 Julai 2018,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung Pas.

Beliau yang memetik beberapa laporan media menegaskan bahawa pencalonan nama Mohamad Ariff sebagai Yang DiPertua Dewan Rakyat hanya diputuskan pada Ahad.

Sementara itu, apabila ditanya tentang tindakan pembangkang untuk keluar Dewan, Tun Dr Mahathir hanya melabelkan tindakan tersebut sebagai sandiwara.

“Ini adalah sandiwara. Pertama kali, bekas Perdana Menteri keluar dari Dewan, baru dia tahu apa maknanya bila orang (Ahli Parlimen) keluar dewan,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat har ini seperti dilapor Astroawani.

CATEGORIES