Malaysia Dateline

Keluar PH: Mesyuarat segera tentukan kedudukan Hasnul

Pemuda AMANAH akan mengadakan mesyuarat segera bagi menentukan kedudukan Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dalam parti ekoran tindakannya keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan Exco kerajaan negeri Perak itu yang disifatkan sebagai membelakangkan amanah rakyat.

“Sehubungan itu, Pemuda Amanah akan memanggil mesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan kedudukan beliau di dalam Jawatankusa Pemuda Amanah Nasional,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, bekas Pegawai Media kepada Adun Titi Serong tersebut, Faeez Azahar turut mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Hasnul dan tidak sesekali menyokong tindakan tersebut.

“Prinsip perjuangan saya tidak pernah luntur dan pengkhianatan ini tidak boleh diterima oleh sesiapa pun.

“Saya menyerahkan tindakan seterusnya kepada Parti Amanah Negara. Kepada Allah jua saya berserah,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tiga Adun PH Perak termasuk Hasnul mengumumkan keluar parti dan menjadi Adun bebas susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak hari ini.

Selain Hasnul, Adun Tronoh dan Buntong daripada DAP iaitu Paul Yong Choo Kiong dan A Sivasubramaniam turut menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu.