Malaysia Dateline

Keluar wang KWSP umpama tebuk tabung sendiri

Selepas Perdana Menteri membuat pengumuman bahawa ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibolehkan untuk membuat pengeluaran wang simpanan masing-masing, netizen mula mempersoalkan tindakan berkenaan.

Ramai yang mempersoalkannya kerana KWSP adalah duit rakyat untuk simpanan hari tua mereka bukannya duit dari kantung kerajaan sendiri.

Dalam pengumuman itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dihujani pelbagai kritikan tidak puas hati selepas satu siri tweetnya menyebut bahawa pengumuman kerajaan yang membenarkan pengeluaran KWSP adalah berita yang baik.

Seorang pengguna akaun bernama Adzman Kamaruddin, mempersoalkan di mana berita baik berkenaan apabila rakyat terpaksa menggunakan duit sendiri

“Apa yang baik? Duit bukan kerajaan bagi tapi duit rakyat sendiri. Sepatutnya kerajaan salur bantuan tunai melalui ahli KWSP, itu baru berita baik,” katanya.

Menarik perhatian, ada juga netizen menyindir dengan berkata: “Yay keluarkan duit sendiri,” tulis pengguna akaun aFireInside.

Pengguna, Amshar Aziz pula berkata, tiada apa yang baik kerana akhirnya mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri yang disimpan untuk hari susah pada masa hadapan.

Ada juga warga twitter yang mencadangkan agar Menteri dipotong gaji dan buang semua Timbalan Menteri yang tak ‘perform’ dalam melakukan pekerjaan.

Malah, pemegang akaun Jenab Duduk Rumah pula berkata ianya bukanlah berita yang baik dan meminta kerajaan mencari jalan penyelesaian yang lain.

“Ini bukan berita baik. Ini duit pencen. EPF pun dah report, level simpanan pencen rakyat Malaysia tak mencukupi. Tolong cari jalan lain,” tulisnya.

Pemegang akaun twitter, alifzakk pula berkata: “Ingat kerajaan prihatin nak bagi sebulan rm500. Rupanya bagi keluar duit sendiri,” tulisnya.

Hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa ahli KWSP berusia kurang 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Beliau berkata, kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum KWSP yang berjumlah RM40 billion itu bertujuan mengurangkan bebanan kewangan rakyat ekoran wabak Covid-19.

“Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020. Jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 bilion,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.