Keluarga Abdul Hadi ucap terima kasih

Keluarga Abdul Hadi ucap terima kasih

Keluarga Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan Presiden Pas itu.

Anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil berkata, Abdul Hadi menunjukkan perkembangan yang baik selepas melalui pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya mengambil peluang ini untuk ucapkan terima kasih kepada pihak IJN, doktor-doktor pakar dan semua staf yang memberikan perkhidmatan terbaik untuk Tuan Guru Presiden.

“Insya-Allah dengan kesihatan yang Allah kurniakan kepada Tuan Guru, beliau akan terus memberikan khidmat kepada agama dan negara. Beliau cuma rehat secukupnya dalam tempoh ini,” katanya kepada Sinar Harian seperti dilaporkan hari ini.

Muhammad Khalil yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, rawatan diterima ayahnya di IJN membuktikan negara mempunyai ramai pakar yang hebat.

“Ini seharusnya memberikan rangsangan kepada kerajaan untuk meningkatkan lagi kepakaran yang ada dalam negara. Malah, kita sebenarnya mempunyai ramai pakar khususnya di luar negara.

“Namun, kerana pentadbiran dan pengurusan dalam negara kita dilihat tidak menyamai negara maju menyebabkan pakar kita tidak mahu pulang dan memberikan khidmat di tanah air. Bukan saja dalam bidang perubatan tetapi bidang kepakaran lain juga,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)