Malaysia Dateline

Keluarga Adib boleh lantik peguam pemerhati, kata Raja Kamarul Bahrin

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim boleh melantik peguam untuk bertindak sebagai “watching brief” (peguam pemerhati) dalam inkues kematian anggota bomba itu.

“Keluarga boleh melantik (peguam) sebagai ‘watching brief’ tetapi bukan sebagai peguam yang mengambil peranan aktif dalam kes ini.

“Kalau peguam daripada kerajaan ambil peranan aktif dia seolah-olah kerajaan bertembung dengan kerajaan. Ini anehlah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Pada 27 Mei lalu, peguam Syazlin Mansor, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga Allahyarham Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Penarikan diri Syazlin menimbulkan banyak persoalan mengenai kedudukan inkues berkenaan dalam memberi keadilan kepada Adib.

Dikatakan wujud arahan ‘tangan ghaib’ dengan terdapat surat arahan oleh pihak tertentu selepas peguam itu dilihat tegas dalam mencari keadilan untuk Adib.

Susulan penarikan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memaklumkan peranan Syazlin tidak diperlukan lagi dalam prosiding inkues berkenaan kerana Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri akan mewakili kementerian serta JBPM.

Sehari selepas penarikan diri Syazlin, Tommy pula dalam kenyataan medianya memberitahu peguam itu berada dalam kedudukan konflik kepentingan kerana mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JBPM dan keluarga Adib dalam inkues terbabit.

Sebelum ini, pejabat Tommy telah memfailkan afidavit yang mengatakan kematian Adib bukan akibat dipukul ketika prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham masih berjalan.

Malah, prosiding inkues itu pada mulanya diwujudkan atas arahan Peguam Negara walaupun polis sudah mengklasifikasikan kematian Adib sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Adib, 24, meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari bertarung nyawa.

Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Esoknya, Perdana Menteri pada sidang media ketika hadir menziarahi Adib di Institut Jantung Negara, di ibu kota berkata, melihat kepada keadaan mangsa jelas wujud niat untuk membunuh oleh pelakunya.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga ketika itu menyifatkan kekecohan di kuil haram tersebut bukan demonstrasi sebaliknya satu tindakan untuk membunuh apabila mereka datang dengan parang dan sebagainya.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis akan melakukan siasatan rapi untuk mengesan dalang serangan tersebut.