Keluarga anggota TLDM mahu bela ikut saluran undang-undang

Keluarga anggota TLDM mahu bela ikut saluran undang-undang

 

Keluarga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang maut dipercayai akibat didera semasa ditahan berada dalam keadaan amat sedih akibat tragedi itu.

Bagaimanapun mereka tetap akan mengikut saluran undang-undang dalam usaha membuat tuntutan dan pembelaan.

Salah seorang adik kepada Nik Mohamad Baihaqi Nik Mat, Nik Mohamad Zaini Nik Mat, 23, berkata memang mereka amat sedih dan hampir tidak dapat menahan sabar, namun semua tindakan akan menjadikan perbincangan keluarga sebagai asas kepada sebarang tindakan.

“Saya sendiri dan adik-beradik lain akan sentiasa merujuk kepada orang-orang tua di kalangan kami,” katanya yang juga bertugas sebagai anggota tentera.

Menurutnya, empat dari keluarga itu menyertai pasukan tentera dan seorang lagi bertugas dalam pasukan bomba.

“Kami berterima kasih kepada semua yang melahirkan simpati dan berkunjung untuk bertanya kabar dan memberi nasihat-nasihat berguna,” katanya.

Zaini berkata demikian ketika ditemui sewaktu dikunjungi rombongan Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia (PVPNM).

Pengerusi PVPNM Kapten(B) Mokhtar Che Ahmad menasihatkan seluruh keluarga khususnya yang masih berkhidmat sebagai anggota tentera mengawal emosi dan tidak mengambil tindakan sendiri.

“Perkara penting sekarang ialah memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan membuat pengadilan berasaskan fakta dan kebenaran.

“Seluruh keluarga khususnya yang lebih dewasa harus sentiasa mengawasi tindak-tanduk anak-anak buah yang kadangkala terlalu beremosi agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya.

Zaini yang menceritakan detik-detik cemas kejadian itu berkata adiknya yang bertugas sebagai anggota bomba di Johor adalah orang pertama mendapat maklumat.

“Dia hanya beritahu saya apabila dia sendiri sudah tiba di Lumut untuk mendapat makluman yang sah mengenai kematian.

“Saya kemudian menghubungi ibu dan adik beradik lain sebelum bersama kakak saya Nik Salwani untuk turut ke hospital Manjung,” katanya.

Menurutnya makluman awal mengenai kematian, adalah akibat stroke haba yang dialami semasa menjalani latihan fizikal.

“Apabila kami tiba di hospital, pihak keluarga dipanggil untuk memaklumkan hasil bedah siasat.

“Kami diberitahu, arwah mengalami koyak kulit di bahagian betis, remuk di tengkuk dan kecederaan teruk di paru-paru.

“Juga didapati pendarahan keluar dari mulut, telinga dan hidung,” katanya.

Hasil bedah siasat ini katanya jelas sebab kematian itu bukan akibat penyakit biasa.

“Tindakan pihak polis yang sudah menukar status kes ini kepada kes bunuh memang wajar dan kami berharap siasatan yang benar-benar telus dapat dijalankan dan keadilan ditegakkan,” katanya.

Pihak PPVNM dalam kunjungan petang tadi menyampaikan sumbangan segera hasil kutipan ahli jawatankuasa peringkat negeri Kelantan.

Kapten(B) Mokhtar bersama Mejar(B) Mohamad Ibrahim dan setiausaha persatuan Mejar(B) Zaidi Ab Halim turut menyampaikan sumbangan itu.

Pihak persatuan berjanji akan memberi bantuan dalam bentuk nasihat dan khidmat guaman jika keluarga mangsa menghadapi masalah.

CATEGORIES
TAGS