Keluarga bimbang keselamatan Sirul

Keluarga Sirul Azhar Umar masih bimbang keselamatan bekas anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) itu jika dibawa pulang, lapor Sinar Harian.

Walaupun gembira selepas dimaklumkan Sirul, 46, bakal diekstradisi ke Malaysia dalam tempoh sebulan, mereka mahu keselamatan Koperal itu terjamin.

“Walaupun dia dibawa pulang, namun kami sekeluarga masih bimbang banyak perkara terutama soal keselamatannya nanti,” kata adiknya yang mahu dikenali ‘Nizam’.

Sebelum ini, Sirul menyatakan ingin bekerjasama dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi saksi dalam kes pembunuhan berprofil tinggi wanita model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 20 Oktober 2006.

Beliau tidak puas hati terhadap keputusan perbicaraan kes bunuh tersebut ekoran tiada saksi mata (eyewitness) dikemukakan sebaliknya mahkamah hanya bergantung kepada bukti-bukti keterangan semasa yang dianggapnya tidak kuat.

Sirul menerusi kenyataan kepada media, 18 dan 19 Mei lalu itu juga mempertikaikan dua peguam yang mewakilinya, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Datuk Hasnal Rezua Merican.

Dakwanya, kedua-dua peguam berkenaan tidak memfailkan permohonan untuk mengkaji semula hukuman itu walhal itu menjadi alasan yang kuat untuk membebaskannya

Mengulas lanjut, Nizam bertegas mahu keselamatan abangnya terjamin di Australia dan Malaysia dan memberitahu keluarga sentiasa mendoakan keselamatan Sirul.

“Ini kerana sepanjang dia berada dalam tahanan imigresen di Australia, kami tahu dia selamat dan dalam keadaan baik,” ujar Nizam lagi.

Sirul yang pernah bertugas mengiring orang kenamaan penting (VVIP) di luar negara berada dalam tahanan imigresen di Brisbane sejak 20 Januari 2015.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri pada 13 Januari 2015 seperti keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Hanya Azilah yang hadir pada 13 Januari 2015 itu dan mahkamah tersebut mengeluarkan waran tangkap dan perintah komital terhadap Sirul ekoran ketidakhadirannya ke mahkamah.

Terdahulu, kedua-dua mereka dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 sementara menunggu rayuan terakhir. Bagaimanapun, Sirul ketika itu terbang ke Australia.

Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda pada mulanya didakwa bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam pada 19 Oktober 2006.

Bagaimanapun, Abdul Razak dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 Jun 2007 telah diberitahu terdapat nota milik Altantuya yang mencatatkan bahawa jika Abdul Razak enggan memberinya sejumlah wang, nyawa anak Abdul Razak akan terancam.

Altantuya mati dibunuh dan mayatnya diletupkan pada usia 28 tahun antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan pukul 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16736, Mukim Bukit Raja di Klang.

Wanita kelahiran Ulan Bator itu dikaitan dengan Datuk Seri Najib Razak selain skandal komisen pembelian kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi.

Walau bagaimanapun, Najib ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan pada sidang Dewan Rakyat, 15 Mei 2008 menafikan hal itu selain menganggap dakwaan yang mengaitkan kematian Altantuya dengan dirinya sebagai tuduhan palsu.

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 9.0