Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur esok untuk menjalani pembedahan pada 12 November ini untuk merawat kecederaan di bahu kanan yang semakin teruk kesan kemalangan melibatkan kenderaan Jabatan Penjara pada 22 September lalu.
Satu sidang media diadakan yang dihadiri ahli keluar Anwar dikediamannya di Bukit Segambaut hari ini yang diwakilkan oleh anaknya Nurul Nuha Anwar untuk memaklumkan mengenai pembedahan yang akan Anwar jalani ketika di HKL.

Keluarga Ketua umum PKR itu yang mengadakan sidang media di kediamannya di Segambut hari ini memohon agar tiada sebarang campurtangan politik ketika Anwar menerima rawatan dan melalui pembebdahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Datuk Seri Anwar diberi akses sepenuhnya kepada kemudahan-kemudahan pemulihan di hospital memandangkan akses kepada kemudahan-kemudahan tersebut cukup terhad untuk penjagaan selepas pembedahan di Penjara Sungai Buloh; dan
“Membenarkan badan-badan hak asasi manusia bertemu beliau untuk memantau keadaan sepanjang pembedahan dan pemulihan selepas pembedahan,” ujar kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Anwar yang mempunyai sejarah bahu yang sakit akibat kecederaan yang dialami akibat kemalangan kereta beberapa tahun lalu telah menerima rawatan fisioterapi dan ubat-ubatan,
Namun sejak pemenjaraan beliau, kecederaan bertambah teruk. Pada September 2015, beliau mula mengadu tentang kecederaan ini yang mengakibatkan kesakitan sepanjang masa.
“Doktor-doktor pakar pada ketika itu mencadangkan beliau menjalani pembedahan untuk mengurangkan kesakitan ini. Beberapa pilihan telah dicadangkan, dari rawatan konservatif dengan penggunaan ubat steroid, fisioterapi dan pengurusan kesakitan, ke pembedahan ‘arthroscopic’ untuk pembaikpulihan ‘rotator cuff’ di bahu, ke pembedahan yang lebih invasif dan berisiko lebih tinggi iaitu pembedahan penggantian bahu.
“Georgetown University di Amerika Syarikat pada waktu itu telah menawarkan institusi tersebut untuk menjalankan pembedahan itu di Amerika Syarikat, dan kami menerima cadangan tersebut kerana gusar akan tahap kesihatan Datuk Seri Anwar.
“Langkah tersebut akan membolehkan beliau menjalani pembedahan serta pemulihan secukupnya tanpa sebarang gangguan politik. Ini pernah dilakukan untuk tahanan politik seperti mantan Presiden Maldives, Mohammed Nasheed, yang dibenarkan meninggalkan Maldives tahun ini untuk rawatan bahagian belakang beliau.
“Malangnya, Kerajaan Malaysia enggan memberi kebenaran kepada Datuk Seri Anwar untuk meninggalkan negara bagi pembedahan di sana dan bertegas bahawa pembedahan tersebut perlu dilakukan di sini,” ujar kenyataan itu.
Justeru disebabkan keadaan penjara yang tidak bersesuaian dan kemungkinan campur tangan dalam pemulihan beliau, Anwar telah memilih untuk tidak menjalani pembedahan pada ketika itu dan memilih rawatan konservatif yang melibatkan fisioterapi dan pengurusan kesakitan.
Bagaimanapun beliau terlibat di dalam kemalangan di mana pada 22 September lalu apabila kenderaan yang membawa beliau naiki telah dilanggar dari belakang oleh kenderaan pengiring.
Kenderaan pengiring tersebut telah gagal untuk berhenti yang mengakibatkan kenderaan pengiring tersebut melanggar kenderaan yang membawa beliau yang telah berhenti untuk mengelak perlanggaran dengan kenderaan dari arah bertentangan.
Pada waktu itu, beliau sedang dibawa semula ke Penjara Sungai Buloh setelah berada empat malam di Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan tekanan darah yang tidak stabil serta kesakitan berkait kecederaan di bahu beliau.
“Impak kemalangan tersebut jelas mengakibatkan kecederaan di bahu beliau – yang memerlukan fisioterapi berterusan – menjadi lebih teruk. Beliau diberi ubat penahan sakit yang kuat untuk menahan rasa sakit.
“Sejak kemalangan itu, kesakitan yang dialami Datuk Seri Anwar telah menjadi lebih teruk. Sebarang pergerakan bahu kanan atau aktiviti menulis yang lama akan mendatangkan kesakitan.
“Datuk Seri Anwar kini tiada pilihan selain menjalani pembedahan yang kini tidak dapat dielak kerana kesakitan yang berlarutan.
“Kami, ahli-ahli keluarga beliau, amat risau dengan tahap kesihatan dan keselamatan bapa kami kerana pembedahan ini mempunyai risiko oleh sebab keadaan beliau pada masa kini,” ujarnya kenyataan itu lagi.
Pada 31hb Oktober, Anwar dan ahli keluarganya telah bertemu dan berunding bersama doktor-doktor di HKL berkenaan isu ini dan beliau bersetuju untuk menjalani pembedahan.
Beliau akan menjalani pembedahan ‘arthroscopic’ untuk melegakan kesakitan. Esok, Rabu 8hb November 2017, Datuk Seri Anwar akan dimasukkan ke HKL untuk penilaian pra-pembedahan, dan akan menjalani pembedahan pada 12hb November 2017.
“Pembedahan ini amatlah rumit dan penjagaan selepas pembedahan yang betul amat diperlukan, dan kami mempunyai kepercayaan penuh terhadap para doktor HKL untuk menjalankan pembedahan ini dengan penuh profesionalisme,” ujar kenyataan itu.