Keluarga mangsa tiba di Hospital Christchurch, Adun Bayan Lepas harap adik Haziq ditemui

Keluarga mangsa tiba di Hospital Christchurch, Adun Bayan Lepas harap adik Haziq ditemui

Pegawai Perubatan di Hospital Christchurch, Mohamad Firdaus (tengah) bergambar bersama Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz yang tiba untuk melihat keadaan mangsa tembakan rambang. Credit gambar: FB Mohamad Firdaus

Keluarga salah seorang rakyat Malaysia yang terbabit dalam tragedi tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, iaitu Rahimi Ahmad, 39, selamat tiba di Hospital Christchurch, pagi ini.

Pegawai Perubatan di Hospital Christchurch, Mohamad Firdaus berkata, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz turut dilihat hadir bersama keluarga tersebut.

Firdaus yang juga merupakan rakyat Malaysia, berkata Ibu kepada Rahimi, Rokiah Mohammad, 65, dan anak lelakinya, Roshidi, 42 tiba untuk melihat keadaan anaknya hari ini.

“Rahimi masih diletakkan di bawah Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sehingga kini bergantung kepada mesin pernafasan.

“Beliau dijangka masuk ke dewan bedah pagi esok untuk pembedahan ‘wash out’ (penyingkiran bahan dari badan) yang selanjutnya,” katanya.

Firdaus dalam satu kenyataan di entri Facebooknya berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut dikhabarkan ada menghubungi isteri kepada Rahimi, Nor Azila Mohammad.

Sementara itu, keluarga mangsa Nazril Hisham Omar turut dilaporkan baru sahaja tiba dari Malaysia.

“Nazril menghadapi kecederaan di jari-jari kaki dan di belakang badan. Namun, seperti yang dimaklumkan staff bertugas, hasil pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) tidak menunjukkan kecederaan pada tulang belakang tetapi masih perlu mendapatkan rawatan pembedahan untuk ‘wash out’.

“Beliau kini stabil dan dilihat sedikit mengantuk serta letih kerana masih di bawah pengaruh ubat tahan sakit,” katanya yang memaklumkan Nazril masih tidak dibenarkan untuk makan melalui mulut (nothing through the mouth).

Manakala mangsa ketiga akibat serangan tersebut, Tarmizi Shuib dilaporkan stabil di wad setelah menjalani pembedahan semalam.

“Isteri dan anak perempuan beliau turut kelihatan bersama menemani mangsa dan mangsa dimaklumkan masih memerlukan pembedahan lanjutan akibat kecederaan tembakan di belakang badan,” katanya.

Tambah Firdaus, sehingga kini jumlah kematian mencapai 50 orang di mana satu lagi mayat baharu saja dijumpai. Walaubagaimanapun, senarai nama mangsa yang meninggal dunia masih belum dikeluarkan.

Adun Bayan Lepas, Azrul dalam kenyataan di Facebooknya hari ini memaklumkan masih tiada khabar berita tentang Haziq, anak lelaki Tarmizi, yang turut sama menunaikan solat di Masjid tersebut.

Beliau meminta orang ramai untuk mendoakan mangsa-mangsa tembakan diberi kesembuhan selain dapat menemui adik Haziq dengan selamat