Keluarga MB dan exco Johor juga perlu isytihar harta, kata Amanah

Keluarga MB dan exco Johor juga perlu isytihar harta, kata Amanah

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor menyarankan ahli keluarga Menteri Besar Johor dan exco turut mengisytiharkan harta mereka ekoran kes rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri berkenaan.

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan berkata, semakan perlu dilakukan secara menyeluruh kerana ia dikhuatiri melibatkan pihak ketiga dalam penyelewengan yang dilakukan seperti yang berlaku terhadap anak Exco kerajaan Johor.

“Kami dari pihak Parti Amanah Negara ingin menyarankan agar penisytiharan harta ini dibuat secara menyeluruh termasuk pada pihak keluarga exco dan menteri besar agar ia lebih telus serta tidak ada ruang untuk penyelewengan ini berlaku.

“Kami juga berharap saranan ini disambut baik oleh pihak Menteri Besar jika ia betul-betul menyambut suara rakyat yang mula mempertikaikan soal rasuah yang berlaku di Johor hari ini,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum ke pejabat menteri besar di Nusajaya hari ini.

Menurut Adun Parit Yaani itu lagi, berkenaan isu pertembungan antara perdana Menteri dan menteri besar, Aminolhuda meramalkan bahawa kemungkinan akan ada perundingan antara Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin yang akan diadakan dalam isu rasuah ini.

Beliau juga tidak menafikan bahawa kebarangkalian wujudnya isu pertembungan itu dan sekaligus ia mencacatkan pemerintahan Khaled yang sebelum ini dilihat bersih dari tempelak rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya meramalkan kemungkinan akan ada pertemuan antara nama yang disebut yakni perdana menteri dan menteri besar Johor untuk berunding berkenaan masalah rasuah yang sedang berlaku ini.

“Saya tidak menafikan bahawa wujudnya pertembungan tersebut dan hasilnya kita lihat hari ini, tempelak rasuah besar 1MDB kini telah terpalit pada batang tubuh pemerintahan Khaled di Johor,” katanya.

Baru-baru ini enam lelaki termasuk anak dan pegawai khas seorang pegawai kerajaan negeri Johor ditahan dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri itu.

Lelaki berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM.

Turut ditahan dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal tersebut.

Sementara iu, Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Johor Dzulkefly Ahmad menyokong tindakan yang dilakukan rakan Pakatan Harapan (PH) yang membuat laporan polis dalam isu ini dan sekaligus memberi kuasa kepada pihak berkuasa polis sama menjalankan siasatan dalam isu rasuah ini.

“Kami menyokong usaha yang dilakukan oleh parti rakan kami dari Parti Keadilan Rakyat yang membuat laporan polis dan ia tindakan yang bagus bagi memberi kuasa kepada pihak berkuasa turut sama melakukan siasatan di atas kes salah laku seperti ini,” katanya.

Memorandum itu diserahkan kepada wakil menteri besar melalui Setiausaha Sulit 2 beliau Ambok Nani bin Mohammad Nor di lobi bangunan pejabat menteri besar di Nusajaya.

Penyerahan memorandum itu juga turut dihadiri oleh Naib Pengerusi Amanah Johor Suhaizan Kayat, Setiausaha Khairuddin A Rahim, dan Ketua Komunikasi Onn Jaafar.

TAGS