Setiap yang berumah tangga tentu mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia. Tidak akan ada seorang pun yang inginkan keluarga berantakan apalagi yang tidak harmoni.
Apabila berbicara tentang dinamik keluarga yang bahagia, ia sangat bermakna untuk ditelusuri bersama bagi mencipta keharmonian yang berpanjangan dalam keluarga.
Bukan mudah merealisasikannya, namun ia memerlukan ilmu dan kekuatan yang berterusan untuk menjadikan ia sesuatu yang realiti dalam kehidupan kita masa kini.
Berusaha mencari tahu, mendapatkan ilmu di samping mempelajari daripada mereka yang punya qudwah (contoh) yang baik dalam keluarga adalah jalan-jalan menuju kebahagiaan itu.
Ia bukan sementara, bahkan memakan waktu yang panjang untuk menggapainya, dilakukan bersama-sama pasangan seterusnya memahamkan keluarga dan lingkungan agar kesejahteraan keluarga itu menjadi lebih subur.
Kualiti keluarga utuh
“(Keluarga yang utuh ialah) keluarga yang mampu mengatasi segala kesukaran dan konflik yang timbul dengan cara yang berkesan (efektif) dan sentiasa berusaha bersama untuk meningkatkan potensi setiap ahli keluarga.”
Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, Pengarah Akademi Dr Har mendefinisikan demikian ketika menjadi moderator sesi pertama Konvensyen Nasional Keluarga Utuh anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) pada 6 November 2021 lalu.
Beliau memetik kajian pensyarah pembangunan manusia dan sains keluarga di Orego State University – Cascades, Dr Dennis Lynn bahawa terdapat enam kualiti yang ada pada keluarga utuh iaitu:
1. Keluarga utuh menyatakan penghargaan dan kasih sayang. Mereka bercakap dengan cara yang positif dan menegaskan dan menyatakan cinta yang mereka ada untuk satu sama lain.
2. Keluarga utuh mempunyai komitmen yang kuat antara satu sama lain. Mereka amat komited untuk mempromosikan kebahagiaan dan kebajikan satu sama lain dan menunjukkan komitmen mereka dengan melaburkan masa dan tenaga dalam aktiviti keluarga.
3. Keluarga utuh menghabiskan masa yang menyeronokkan bersama. Mereka seronok bersama dan tahu bahawa jika mereka tidak mengutamakan dan menjadualkan masa bersama, ia tidak akan berlaku. Kadang-kadang, cinta dieja dengan t-i-m-e.
4. Keluarga utuh menguruskan tekanan dan krisis dengan berkesan. Mereka tidak kebal atau terkecuali daripada hari yang sukar dan situasi yang mencabar, tetapi mereka membangunkan strategi supaya mereka boleh bersatu, bukannya berantakan.
5. Keluarga utuh mempunyai rasa kesejahteraan rohani. Walau apa pun ekspresi gaya hidup rohani mereka, terdapat tema yang konsisten dalam membimbing nilai dan etika serta komitmen terhadap sebab-sebab penting.
6. Keluarga utuh mempunyai corak komunikasi yang berkesan dan positif. Mereka bercakap antara satu sama lain dan mendengar antara satu sama lain dan mungkin mempunyai peraturan asas khusus tentang cara mereka berkomunikasi dengan cara yang penuh hormat dan penyayang.
Menurutnya, enam sifat tersebut membantu untuk mengenali kekuatan yang mungkin sudah ada dan menyediakan titik permulaan untuk membangunkan bidang kekuatan baharu.
Tanggungjawab bersama
Dalam pada itu, Ketua Pasukan Petugas Masyarakat Progresif IKRAM, Ainullotfi Abdul Latif, dalam slot ‘Peranan Keluarga Utuh dalam Keharmonian dan Pembangunan Negara’ berkata, institusi keluarga merupakan unit paling asas dan terpenting dalam pembinaan sesebuah masyarakat dan negara.
“Keluarga yang utuh ialah keluarga yang berdiri di atas pegangan yang mantap (landasan akidah dan iman), ubudiah (penghambaan) kepada Yang Maha Agung, dan berbuat kebajikan.”
Tambahnya lagi, ketua keluarga dan setiap anggotanya berfungsi dengan baik, iaitu mampu mengendali isu-isu pembangunan fizikal, mental, ekonomi, sosial, dan kerohanian keluarga.
“Keluarga utuh keluarga yang bersistem, bersifat anjal (flexible) dan akomodatif dalam menghadapi cabaran dan konflik keluarga serta mampu menghadapi ideologi dan pemikiran yang boleh meruntuhkan kerukunan keluarga.”
Justeru dalam keluarga utuh menurutnya, ketua keluarga terutamanya golongan lelaki lebih bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawabnya dan tidak mengabaikannya dan mesti mampu mengendali isu-isu, permasalahan keluarga serta mengetahui ilmu psikologi dan ilmu sosial yang kontemporari.
Setiap ahli keluarga mainkan peranan
Dalam sesi tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dato Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan pandangannya bahawa dalam Islam, setiap suami wajib melayani isterinya dengan baik dan setiap isteri juga wajib taat dan melayani suami dengan sebaiknya.
“Islam adalah agama yang sempurna, setiap hukum dan peraturan yang terdapat bukan hanya memihak kepada lelaki, tetapi juga kepada isteri dan kesemua pihak.”
Beliau menegaskan, untuk membina keluarga yang cemerlang, keluarga yang bahagia, sakinah, mawaddah wa rahmah, ia tidak akan berlaku apabila satu unit daripada keluarga itu sahaja yang memainkan peranannya, tetapi semua perlu memainkan peranannya dan saling membantu mencapai segalanya itu.
“Runtuhnya institusi kekeluargaan akan mendatangkan musibah yang besar kepada masyarakat dan ummah, seterusnya memberi kesan kepada masa depan anak-anak sebagai generasi pelapis ummah,” kata Dr Mohd Na’im.
Tapak asas pembentukan nilai murni
Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia (YPM), Prof Dr Suresh Kumar P Govind pula berkata, keluarga adalah tapak asas untuk pembentukan nilai-nilai murni dan semangat perpaduan.
“Ibu bapa perlu luangkan masa untuk anak-anak. Ceritakan kepada mereka tentang pengalaman lampau kerana dari situ, tentu akan memberi pengajaran yang besar buat mereka.”
Beliau menyifatkan perkara-perkara kecil yang berlaku dalam keluarga itu adalah tapak asas yang akan membawa banyak erti dan makna apabila seseorang itu menghadapi cabaran.
“Jika kita ingin mengubah dunia menjadi lebih sejahtera, negara perlulah menjadi sejahtera, jika kita tidak mampu mengubah masyarakat, maka dari keluargalah perlu diubah, kerana peranan pentingnya bermula daripada keluarga.”
Selain itu, beliau menyarankan kepada ibu bapa mengajar anak-anaknya sedari kecil lagi untuk hormat dan sayang kepada semua.
Bukan yang sempurna
Maka, benarlah sebagaimana memetik kata pada artikel Dr Hamidah Mat, Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN) iaitu ‘Keluarga utuh bukan bererti sempurna’.
“Keluarga utuh yang kita inginkan ialah keluarga yang kuat menghadapi cabaran yang imandan takwa menjadi asas, dan yang paling penting ialah sabar dan hikmah mestilah sentiasa ada.”
Oleh yang demikian, untuk mewujudkan sebuah keluarga yang utuh itu memerlukan kesefahaman dan ilmu yang benar dari dalam keluarga itu sendiri.
Kerana keluarga adalah unit terkecil dalam masyarakat, jika porak-peranda keluarga, maka akan porak-perandalah masyarakat dan jika sebaliknya, keluarga bahagia akan saling mengasihi, aman, selamat dan membina masyarakat yang sejahtera.
Melalui keluarga inilah yang akan melahirkan masyarakat yang harmoni dan menyumbang kepada kelahiran masyarakat yang lebih sejahtera lagi utuh.
Ayuh mula dan teruskan merealisasikannya.
#KeluargaUtuh #MasyarakatProgresif #BinaNegaraRahmah
Penulis merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia