Keluasan tanah rizab Melayu berkurangan kerana tidak diganti, kata Wan Azizah

Keluasan tanah rizab Melayu berkurangan kerana tidak diganti, kata Wan Azizah

Pengambilan tanah rizab Melayu untuk pembangunan dan sering tidak diganti dengan keluasan atau nilai sama merupakan antara isu yang memberi kesan serius kepada kedudukan Tanah Rizab Melayu sekarang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya tambah memburukkan keadaan ialah apabila tanah yang dinamakan ‘reserve’ atau ‘simpanan’ untuk kesejahteraan orang Melayu sering kali ditadbir sebagai ‘tanah terbiar’ atau ‘tanah kurang nilai’ sehingga menjatuhkan nilai pasaran hartanah yang amat berharga itu.

Ini katanya menjadikan harta yang sepatutnya amat bermanfaat, terbiar dan tertinggal tanpa harga pasaran yang wajar dan patut.

“(Justeru), kita harus memastikan masa depan Tanah Rizab Melayu terjamin. Dalam mengejar arus pembangunan, tanah di negara kita akan menjadi lebih terhad dan bila ini terjadi, Tanah Rizab Melayu akan menjadi sangat bernilai.

“Kita mesti mencari jalan untuk membenarkan pembangunan di atas Tanah Rizab Melayu tanpa menggugat kedaulatan tanah tersebut. Ini adalah di mana input saudara dan saudari sebagai ahli ilmuwan serta pakar dalam bidang ini amat penting untuk kerajaan menggubal polisi-polisi untuk masa depan Tanah Rizab Melayu,” katanya dalam ucapan.

Teks ucapan beliau dibacakan penasihatnya, Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod yang mewakili beliau menutup Konvensyen Tanah Rizab Melayu (TRM) 2019 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) padaa Khamis.

Turut hadir pada konvensyen sehari itu ialah Naib Canselor UiTM Prof Dr Mohd Azraai Kassim dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata Majlis Tanah Negara (MTN) yang dipengerusikan oleh beliau boleh berunding dengan kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri serta pelbagai jabatan dan badan lain, antaranya Majlis Kewangan Negara, supaya dapat menggubal satu dasar yang boleh memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh negara.

Perkara ini, menurut timbalan perdana menteri, adalah selaras dengan Perkara 91 (5) Perlembagaan Persekutuan.

“Sama ada untuk tujuan perlombongan, pertanian, perhutanan atau sebarang maksud lain, MTN membentuk dasar berlandaskan sebarang undang-undang yang berkaitan.

“Dengan demikian, kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dapat menyelaraskan pelbagai pendekatan serta dasar yang wajar bagi semua keperluan dan kegunaan,” katanya.

Dr Wan Azizah turut berkata dalam masa kerajaan memikirkan isu Tanah Rizab Melayu dan cara-cara mengatasinya, orang Melayu juga mempunyai peranan serta tanggungjawab secara peribadi dalam menangani isu pemilikan tanah secara amnya di negara ini.

Beliau berkata perkara itu bukan sahaja perlu dilihat dari perspektif pemilikan orang-orang Melayu ke atas Tanah Rizab Melayu, tetapi juga ke atas tanah-tanah yang berstatus bukan rizab Melayu.

“Kita juga perlu bertanya pada diri sendiri, adakah kita lebih pentingkan pulangan jangka pendek dengan menjual hartanah kita hanya selepas kenaikan harga 20 atau 30 peratus dalam masa beberapa tahun, berbanding dengan menyimpannya demi zuriat kita

“Apabila kerajaan mengambil alih tanah yang bukan berstatus Tanah Rizab Melayu untuk pembangunan dan kita dibayar pampasan, adakah kita menggunakan pampasan tersebut untuk membeli kenderaan besar, melancong ke luar negara dan seumpamanya, dan tidak menggunakan pampasan tersebut untuk membeli tanah bagi menggantikan tanah yang telah diambil alih tersebut

“Saya juga difahamkan ramai dalam kalangan orang Melayu yang gemar melakukan pembiayaan semula kediaman mereka menyebabkan jumlah pembiayaan meningkat semula. Natijahnya mereka biasanya tidak akan mampu menyelesaikan hutang rumah mereka apabila mereka bersara,” katanya.

Dalam hal ini, timbalan perdana menteri berkata peranan ahli-ahli perbankan diperlukan untuk memberi nasihat kepada pelanggan masing-masing.

“Adalah menjadi peranan cerdik pandai juga bagi merangka dan memberi pendedahan kepada orang-orang Melayu merancang kewangan peribadi, khususnya dalam perancangan pelaburan hartanah demi pemerkasaan pemilikan hartanah dalam kalangan orang-orang Melayu,” katanya.– BERNAMA