Keluhan lapan pemilik alami rekahan kediaman terbela

Keluhan lapan pemilik alami rekahan kediaman terbela

Keluhan lapan pemilik rumah di Taman Bukti di Ampangan, dekat sini, yang mengalami keretakan di kediaman mereka akibat kerja-kerja membaiki cerun oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) terbela selepas kerajaan negeri hari ini menghulurkan pampasan kepada mereka.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata pampasan berjumlah RM369,100 diberikan kepada pemilik rumah berkenaan dengan setiap pemilik menerima antara RM14,900 hingga RM80,000 bergantung kepada kerosakan.

Sejumlah sembilan buah rumah mengalami keretakan ekoran kerja membaiki cerun kira-kira 50 meter di belakang kediaman mereka tahun lalu, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek pampasan kepada pemilik rumah berkenaan di sini.

Mohamad Rafie, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, berkata pihaknya sedang mengesan waris sebuah lagi rumah yang terjejas untuk diserahkan cek pampasan memandangkan pemiliknya telah meninggal dunia.

“Dengan itu, kes berkenaan telah selesai selepas semua pemilik rumah berkenaan berpuas hati dengan pampasan yang diberikan,” katanya.

— BERNAMA