Malaysia Dateline

Keluhan rakyat sebagai reaksi positif percaya kerajaan

Menyelusuri minit-minit terakhir sebelum menutup ucapannya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kesukaran kerajaan menunaikan janji oleh kerana lambakan aduan rakyat kepada kerajaan yang perlu ditangani segera.

Namun begitu katanya, keluhan yang diterima melambangkan reaksi positif rakyat yang menunjukkan kepercayaan terhadap kerajaan untuk melakukan perubahan.

“Selepas saya jadi Perdana Menteri, ramai yang datang sehingga saya tak dapat laksanakan janji pun.

“Terlalu banyak datang jumpa saya minta tolong kerana kebanyakan masalah mereka berlaku di zaman dahulu (Barisan Nasional). Dimana lagi nak cari penyelesaian kalau bukan pada kerajaan,” katanya dalam Ceramah Mega PH, di Terminal Bas Kukup Laut, Pontian malam tadi.

Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan yang dilaksanakan dalam negara hari ini tidak akan dapat dicapai tanpa sifat simpati pemimpin terhadap nasib rakyat.

“Bila kita ada kerajaan yang bersimpati pada rakyat, maka kita lihat pembangunan berlaku di mana sahaja.

“Rakyat juga berhak berdemonstrasi sekiranya ada sebab. Kalau kita lihat kerajaan tak jalankan tugas dengan sempurna, saya yakin demonstrasi akan berlaku tiap-tiap hari.

“Tapi ini lah yang perlu kita hati-hati dalam pilihanraya. Jangan kerana ada timbul rasa benci dan marah, maka kita undi pembangkang. Undi bukan untuk dapat kerajaan yang baik, tapi kerana marah walaupun kadang-kadang tuduhan tak betul,” katanya.

Perdana Menteri itu juga berkata, negara boleh mencapai status Harimau Asia sekiranya rakyat bersama menyokong penuh terhadap pimpinan PH yang semakin cekap dalam mentadbir kerajaan selepas satu tahun setengah mereka memegang Putrajaya.

Maka dengan itu katanya, diharap Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, pengundi dapat memilih calon yang rapat dengan kerajaan yang boleh mewakili penduduk Tanjung Piai.

“Kita nak lihat negara bangun semula supaya dikenali kembali sebagai Harimau Asia. Kita boleh buat kerana rakyat bersama dengan kita.

“Saya harap dengan PRK ini, untuk menjaga kepentingan Tanjung Piai, kita akan tentukan calon yang rapat dengan kerajaan akan dipilih supaya ianya dapat mewakili kita kepada kerajaan,” ujarnya.