Kelulusan kenaikan kadar bayaran karya seni kreatif, suntik semangat penggiat industri

Kelulusan kenaikan kadar bayaran karya seni kreatif, suntik semangat penggiat industri

Kelulusan kenaikan kadar bayaran para pengkarya seni kreatif bagi siaran hasil karya mereka di Radio Televisyen Malaysia (RTM), dilihat akan memberi suntikan semangat kepada penggiat dunia kreatif itu.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Mohd Sufian Mat Ali berkata, khabar gembira itu sekali gus akan mengembalikan sokongan rakyat kepada stesen televisyen milik kerajaan itu.

“Hasil seni memerlukan satu usaha yang cukup mendalam dan ketelitian bagi mendapatkan hasil yang berkualiti.

“Kadar bayaran yang rendah pastinya tidak akan membantu para karyawan untuk memberi komitmen terbaik mereka.

“Kami (Pemuda AMANAH Terengganu) turut berharap para karyawan dapat menghasilkan produk yang berkualiti dan boleh mendidik rakyat bukan sahaja menyentuh soal berpasangan, sebaliknya menyentuh isu-isu berkaitan sosial, ekonomi, politik dan juga kekeluargaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan di buat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dalam satu kenyataan pada Selasa dipetik  berkata,, kadar kenaikan itu akan dilaksanakan bermula April tahun depan.

Kadar kenaikan yang diluluskan mengikut kategori rancangan iaitu, 20 peratus sehingga 60 peratus bagi telefilem; drama bersiri (30 peratus hingga 60 peratus); dokumenteri dan majalah (10 peratus hingga 30 peratus) serta animasi bersiri (30 peratus) akan dilaksanakan bermula April 2020 tertakluk kepada kualiti hasil karyawan.

Gobind berkata, kadar baharu itu akan terpakai mulai April 2020, tertakluk kepada kualiti produk, selain merujuk garis panduan perolehan rancangan iaitu setiap terbitan perlu melalui proses kelulusan dan piawaian yang ditetapkan dengan persetujuan RTM serta syarikat terbabit.

Katanya, di samping kenaikan kadar harga, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) juga akan menambah kepelbagaian rancangan seperti Extreme Gameshow (30 minit) di bawah kategori Variety Show; Muzikal Hiburan Bersiri (60 minit) dan Kapsul/Trailer/Promo (1 hingga 3minit).