Malaysia Dateline

Kelulusan penerbangan pesawat Israel: Mana solidariti kita?

Pada 29 Mei lalu, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan media bertajuk ‘Penjelasan Mengenai Pesawat Israel Yang Melalui Ruang Udara Malaysia’.

Dalam kenyataan tersebut, pihak kementerian antara lain mengesahkan kelulusan yang diberi kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) untuk melalui ruang udara Malaysia.

Hal ini kerana menurut pihak kementerian, pesawat tersebut tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara dengan penegasan bahawa pesawat tidak dibenarkan mendarat dan berlegar-legar di ruang udara Malaysia.

Kelulusan yang diberikan ini berbeza sungguh berbanding tindakan yang diambil oleh negara Islam lain seperti Indonesia dan Arab Saudi.

Negara-negara tersebut yang juga merupakan negara anggota Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) seperti Malaysia, namun mereka tidak membenarkan sama sekali mana-mana pesawat milik Israel untuk melalui jauh sekali mendarat di wilayah mereka.

Penarikan kebenaran sebagai sebahagian daripada penolakan hubungan diplomatik tersebut dilakukan antara lain berikutan daripada pendudukan haram Israel di Palestin, tuduhan jenayah perang (alleged war crimes) yang dilakukan oleh Israel serta pelbagai tindakan yang melanggar hak asasi manusia dalam krisis di Gaza.

Penarikan akses untuk melalui ruang udara negara-negara tersebut telah menyebabkan ketidakselesaan yang amat signifikan dalam kehidupan seharian rakyat Israel sekali gus memberikan tekanan politik terhadap Israel.

Sebagai contoh, perjalanan Benjamin Netanyahu dari Singapura ke Sydney, Australia menggunakan pesawat daripada syarikat yang sama menggunakan laluan yang mengambil masa jauh lebih panjang (11 jam 3 minit) berbanding laluan kebiasaan yang melalui ruang udara Indonesia (7 jam 38 minit).

Oleh itu, terdapat beberapa persoalan yang ingin ditujukan kepada pihak Kementerian Pengangkutan Malayeia berikutan kelulusan yang diberikan seperti dalam perenggan 1 tersebut:

1. Sedarkah pihak kementerian akan kewujudan Artikel 6 Konvensyen Chicago – konvensyen yang mendirikan ICAO- yang antara lain prinsipnya mengatakan bahawa tiada mana-mana perkhidmatan udara boleh dilakukan dalam ruang udara sesebuah negara selagi mana ianya tidak mendapat kelulusan daripada negara tersebut?

Dengan kata lain, kerajaan Malaysia mempunyai pilihan untuk membenarkan ataupun tidak pesawat Israel tersebut bagi melalui ruang udara Malaysia seperti mana yang diperuntukan oleh Artikel tersebut.

Oleh itu, adakah pihak kementerian bersetuju jika dikatakan bahawa kerajaan Malaysia telah membazirkan peluang emas untuk memberikan tekanan kepada Israel sepertimana yang telah diambil oleh negara lain seperti Arab Saudi dan Indonesia lain demi bersolidariti keatas nasib rakyat Palestin yang dizalimi oleh kerajaan Israel?

2. Lebih merisaukan, bukankah pihak kementerian juga sedar bahawa kelulusan yang diberikan ini sendiri merupakan sebuah tindakan hubungan diplomatik Malaysia-Israel yang bercanggah terus dengan komitmen negara Malaysia yang tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel?

3. Sedarkah kementerian juga bahawa pada 25 Mei yang lepas, 27 buah negara Kesatuan Eropah dan negara Britain telah bersetuju untuk tidak membenarkan pesawat milik negara Belarus untuk melalui ruang udara mereka berikutan daripada insiden penahanan seorang jurnalis Raman Protassevich bersama teman wanitanya Sofia Sapega?

Menurut presiden eksekutif Suruhanjaya Eropah (Europan Commission), Ursula von der Leyen, penahanan jurnalis ini bercanggah dengan prinsip demokrasi dan merupakan serangan keatas kebebasan bersuara yang bercanggah dengan prinsip Kesatuan Eropah.

Persoalan kepada pihak Kementerian Pengangkutan, bukankah penahanan seorang jurnalis itu jauh lebih ringan (far-cry) berbanding pendudukan haram Israel, krisis hak asasi manusia, malahan tuduhan jenayah perang yang dilakukan oleh lsrael?

4. Dengan itu, bukankah tindakan yang sepatutnya diambil oleh kerajaan Malaysia terhadap jenayah oleh Israel dilayan dengan lebih tegas berbanding apa yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah terhadap penahanan jurnalis oleh Belarus?

5. Bukankah dengan berlaku lembut terhadap Israel seolah-oleh kita merelakan (condone) kesemua tindakan-tindakan jenayah yang dilakukan oleh kerajaan Israel?

6. Di samping itu, sekiranya tindakan untuk tidak memberi akses bagi melalui ruang udara ini bagi pesawat Israel sudah diambil oleh negara seperti Indonesia dan Arab Saudi dan oleh Kesatuan Eropah terhadap Belarus, apakah pula yang menghalang kerajaan Malaysia bagi mengambil langkah yang sama?

Kesemua persoalan ini haruslah dijawab secara terbuka oleh pihak Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Malaysia secara amnya supaya negara Malaysia tidak tergolong mahupun bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menindas.