Malaysia Dateline

Kem Azmin sindir siapa mahu jadi Perdana Menteri

Kelab penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyindir kemelut pemilihan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Plus dengan membandingkan situasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini.

Kelab Facebook Friends of Azmin Ali berkata, tiada mana-mana khabar berkenaan siapa mahu menjadi Perdana Menteri sepanjang tiga bulan pentadbiran kerajaan PH.

“Alhamdulillah, sepanjang tiga bulan ini kita tak dengar lagi cerita-cerita siapa nak jadi Perdana Menteri.

“Aman sampai hari ini. Kalau PH masuk balik, itulah perbincangan yang akan kita dengar setiap hari. Kita perlu kuatkan Kerajaan Perikatan Nasional,” kata kumpulan penyokong itu sambil berkongsikan gambar Azmin dan Muhyiddin Yassin sedang ketawa dalam satu pertemuan.

Hantaran tersebut turut dikongsi Azmin iaitu bekas Timbalan Presiden PKR yang dipecat di laman rasmi Facebooknya.

Walau bagaimanapun, terdapat juga komentar yang membidas kembali sindiran itu termasuk pengakuan terbuka bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz tahun lalu sebagai individu dalam video lucah dikaitkan dengan individu mirip seorang menteri.

Pengakuan Haziq berhubung video lucah dikaitkan dengan Azmin menggemparkan negara tahun lalu.

Terdapat juga warganet yang berkongsikan gambar detik pertemuan Anwar Ibrahim dengan Azmin yang kini Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sepatutnya DSAI lempang saja Azmin masa ini,” komen Izzuddin Ismail.

Tidak kurang juga mengaitkan situasi aman yang dikatakan sedang dinikmati PN pada masa ini akan bergoncang kerana berebutkan kerusi bertanding pada PRU-15 akan datang.

“Tunggu PRU. PPBM, kumpulan Azmin dan Muafakat Nasional (Umno dan Pas) berebut kerusi,” tempelak Mas Adira.

Sindiran kelab penyokong Azmin turut dibalas dengan aksi Anwar dan Azmin ini.