Kem PH ceria, mula lihat peluang menang di Tanjung Piai

Kem PH ceria, mula lihat peluang menang di Tanjung Piai
Mood ceria di kem PH dalam sidang media sempena PRK Tanjung Piai hari ini.

Kem Pakatan Harapan (PH) kelihatan ceria menjelang tiga hari sebelum hari mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu ini.

Ia dibayangkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyidin Yassin dalam sidang medianya di Bilik Gerakan Utama PH untuk PRK itu.

“Ada petanda baik sokongan kepada calon PH, Haji Karmaine dalam pilihan raya kecil ini.

“Namun saya menyeru kepada semua jentera PH jangan mengambil mudah (pihak lawan) kerana masih ramai golongan atas pagar yang belum membuat keputusan,” kata Muhyidin sambil tersenyum dalam sidang medianya.

Turut serta bersama beliau adalah Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, Dr Radzi Jidin, timbalan menteri dari Bersatu serta bekas menteri besar Johor, Datuk Othman Sapiyan.

Khalid dalam kenyataan melalui twitternya juga melahirkan rasa senang dengan perkembangan terbaru itu.

Melalui twitternya, Khalid berkata, berdasarkan lawatan dan interaksi dengan penduduk di Tanjung Piai, “Saya mula yakin PH boleh menang PRK.”

Bagi beliau, ia kelihatan satu trend hasil pemerintahan selama satu tahun lebih PH di pusat dan negeri.

“Undi Melayu mula beralih kepada PH. Dijangka jauh bertambah berbanding PRU ke 14!” tulis beliau melalui twitter itu.

 

PERATUSAN TIDAK RENDAH

Haji Karmaine, calon PH, bersama Tan Sri Muhyiddin dan Khalid Samad berbincang sebelum sidang media khas hari ini. 3 hari menjelang hari mengundi, kem PH ceria selepas mula melihat bayangan kemenangan memihak kepada mereka.

Sementara itu, jumlah peratusan mengundi kali ini dijangka tidak rendah kerana minat pengundi tempatan yang tinggi untuk keluar mengundi.

Menurut Muhyiddin dalam sidang medianya, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya ini dijangka agak tinggi.

“Hampir semua pengundi tempatan yang ditemui mengatakan mereka akan keluar mengundi kali ini. Ini satu yang luar biasa dalam pilihan raya kecil,” kata Muhyiddin.

Untuk pengundi luar pula, katanya, pihak jentera PH sedang berusaha untuk mempastikan mereka pulang mengundi Sabtu ini.

“Saya menyeru semua pihak termasuk melalui media di depan saya hari ini agar memastikan semua pengundi luar kita pulang mengundi,” kata Menteri Dalam Negeri itu.

Ramai penganalisis bimbang kalau-kalau pengundi luar tidak pulang untuk mengundi kali ini kerana ia hanya pilihan raya kecil.