Malaysia Dateline

Kem tentera berskala besar diperlukan di Lahad Datu, kata KM Sabah

Pewujudan kem tentera berskala besar perlu di kawasan strategik di Lahad Datu dalam menangani jenayah rentas sempadan di perairan khususnya penculikan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan persekutuan dan sehingga kini belum lagi direalisasikan.

“Kita sudah banyak kali cakap (suarakan) cadangan itu kepada kerajaan persekutuan untuk menempatkan sumber (kem tentera) di tempat yang diperlukan dan dengan segera.

“Kalau boleh bina di Lok Kawi (kem tentera) kenapa tak bina di tempat yang amat diperlukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa dan Pameran Hari Sungai Sedunia peringkat negeri di sini, hari ini.

Beliau diminta perkembangan terbaru cadangan itu yang sebelum ini telah beliau suarakan.

Pada 4 September lepas, Tentera Darat telah melancarkan Divisyen Kelima Infrantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi pada 4 September lepas.

Mohd Shafie berkata dalam keadaan kekangan kewangan yang terbatas sepatutnya pengurusan bukan hanya dari segi keselamatan dan kedaulatan negara tetapi nyawa manusia harus menjadi kepentingan dan pertimbangan utama.

“Bukan tak perlu batalion di kawasan Kem Lok Kawi ataupun Kota Belud (Kem Paradise) tetapi kalau dari segi pertimbangan keutamaan perlu lihat dari segi kedaulatan negara dan nyawa manusia.

“Kedaulatan negara satu perkara kita tidak boleh anggap sebagai satu perkara kecil apatah lagi dalam keadaan ancaman kita hadapi,” katanya sambil menambah akan membangkitkan lagi cadangan itu pada sidang parlimen nanti.

Katanya pewujudan satu batalion tentera di kawasan itu (Tambisan) penting berbanding hanya satu platun.

Menurutnya Sabah bergantung kepada sektor pelancongan dan sudah tentu tidak mahu ia terjejas disebabkan faktor keselamatan

“Tambisan (kawasan perairan berlaku kejadian penculikan) bukan satu kawasan pelancongan tetapi tidak jauh dari Lahad Datu,” kata Mohd Shafie.– BERNAMA