Malaysia Dateline

Kemajuan FGV petanda baik buat peneroka Felda

Pelan transformasi FGV Holdings yang telah diperkenalkan beberapa bulan lepas selepas Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan, telah berjaya membuahkan hasil.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil dalam kenyataan beliau.

Menurutnya, dalam tempoh 15 bulan, pengurusan perladangan FGV telah menjadi lebih mantap, kos operasi telah berjaya dikurangkan dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap pelaburan-pelaburan FGV yang gagal semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Sehingga November 2019, penjimatan sebanyak RM155 juta sehingga RM170 juta telah berjaya dicapai hanya dengan menangani ketirisan dalam pembelian atau ‘procurement’.

“Felda yang merupakan punca ekonomi penting bagi ramai peneroka khususnya orang Melayu mempunyai pegangan hampir 34 peratus dalam FGV.

“Manakala Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dimiliki oleh warga Felda, mempunyai pegangan sebanyak 5 peratus,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, kecemerlangan FGV amat mustahak bagi memastikan Felda dan KFV tidak terjejas.

Jelas Faiz lagi, pengurusan FGV yang tidak memuaskan sebelum PH mengambil aih pentadbiran negara telah menyebabkan Felda gagal menerima pendapatan RM800 juta daripada FGV sepertimana yang telah dijangkakan sebelum entiti tersebut disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012.

Tambah beliau, kelemahan operasi FGV merupakan salah satu faktor kemerosotan harga sahamnya yang telah jatuh sebanyak 65 peratus sejak disenaraikan di pasaran saham sehingga 8 Mei 2018.

“Penambahbaikan operasi FGV sejak suku ketiga 2018 telah berjaya meningkatkan keyakinan pelabur, di mana harga sahamnya telah melonjak naik sebanyak 144 peratus daripada RM0.635 pada 14 Disember 2018, kepada RM1.55 pada 10 Januari 2020.

“Pada asalnya semasa ia dibuka harga sahamnya adalah sebanyak RM4.55.

“Sepertimana surat pengerusi FGV kepada para pemegang saham baru-baru ini menyatakan jumlah keluaran buah tanda segar sawit (FFB) syarikat tersebut setakat November 2019 telahpun meningkat hampir 9 peratus kepada 4.17 juta tan metrik berbanding hanya 3.83 juta tan metrik pada November 2018,” ujarnya.

Malah kata Faiz, perubahan signifikan dari segi operasi, kenaikan mendadak harga minyak sawit mentah yang telah mencecah RM3084.50 setakat 9 Januari 2020 telah membantu menjayakan pelan transformasi FGV dan perubahan ini harus diteruskan.

Beliau juga berkata, adalah penting bagi FGV mempunyai sumber pendapatan yang pelbagai dan tidak bergantung kepada minyak sawit semata-mata supaya tidak terjejas dengan turun naik harga komoditi.

“Kecemerlangan FGV penting untuk Felda dan para penerokanya, memandangkan FGV membeli dua pertiga buah tandan segar sawit daripada pekebun kecil Felda.

“Pelaburan FGV pada masa yang akan datang dalam mana-mana syarikat haruslah berlandaskan nilai amanah dan urus tadbir korporat yang baik.

“Prinsip ini sekiranya terus diangkat dalam pengurusan FGV maka ia mampu memberikan perubahan positif dari segi operasi dan kewangan serta melonjak harga saham yang lebih tinggi bagi manfaat peneroka Felda,” katanya yang juga merupakan Adun Permatang Pasir.