Kemalangan basikal: Dua remaja masih di ICU

Kemalangan basikal: Dua remaja masih di ICU

Lapan remaja yang cedera dalam kemalangan berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru, semalam masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata dua pesakit masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala enam lagi ditempatkan di wad dan dalam keadaan stabil.

“Sehingga kini (9 pagi tadi), semua lapan pesakit itu masih dalam rawatan. Dua masih di ICU dengan tiada perubahan manakala enam lagi dalam keadaan stabil dan sedang menunggu untuk melakukan pembedahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dua yang masih berada di ICU adalah Mohamed Shamizal Iqmal Abdullah, 16, dan Muhd Nazri Mahmudi, 13.

Mereka yang berada di wad pula adalah Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 17, yang cedera di bahagian pinggul dan luka di badan; Muhamad Farhan Che Mat, 16, (patah kaki kanan); dan Abdul Samad Abdul Kadir, 16, (patah kaki kiri).

Selain itu, Muhammad Arif Salman, 15, (cedera teruk di bahagian kepala) serta Muhammad Zulfadli Yusri, 19, dan Muhammad Arasshat Abdullah, 14, kedua-duanya patah kaki kanan juga ditempatkan di wad.

Insiden pada 3 pagi itu turut meragut nyawa lapan remaja apabila basikal dinaiki kesemua mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Nissan Almera di jalan terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata ketika itu, sekumpulan 20 hingga 30 remaja berbasikal dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan jalan sekitar sebelum dirempuh seorang pemandu wanita.

Katanya, pemandu berusia 22 tahun dari arah Taman Pelangi itu dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan remaja berkenaan.

TAGS