Malaysia Dateline

Kemalangan demi kemalangan di SUKE: Kecuaian pihak berkuasa dipersalahkan

Kejadian yang tidak diingini yang berulang kali berlaku ke atas pembinaan lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE) mengecewakan pemimpin dan aktivis politik di Kuala Lumpur khasnya di kawasan yang terlibat.

Mereka menyalahkan pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menguruskan pembinaan SUKE yang merentas di tengah-tengah ibu kota ini.

Ia disuarakan dengan jelas oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) khasnya AMANAH dan juga PKR.

Video Klip Pemuda AMANAH Bandar Tun Razak dalam isu kemalangan di SUKE. Klik untuk menonton.

Pemuda AMANAH Bandar Tun Razak, kawasan di mana SUKE turut dibina mengeluarkan klip video khas bagi menyatakan keresahan penduduk kawasan terlibat.

Tiga hari lepas, tiga pekerja asing dari China meninggal dunia manakala seorang pengguna jalanraya cedera akibat kren untuk pembinaan SUKE jatuh ke atas jalan raya.

Ia adalah kemalangan maut kedua di SUKE selepas dua orang turut dilaporkan meninggal dunia awal bulan ini dalam kejadian di lebuh raya MRR2 berdekatan Bandar Tasik Selatan.
Van yang ditumpangi mereka dihempap runtuhan jambatan SUKE selepas dilanggar sebuah treler.

PKR Wilayah Persekutuan menyalahkan pihak yang berkuasa termasuk DBKL dalam menguruskan pembinaan lebuhraya ini.

Naib Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Andre Lai berkata, kecuaian ini berlaku dari pihak berkuasa.

“Jalan ini merupakan laluan utama menghubungkan kawasan berpadatan tinggi seperti Len Sen, Bukit Cheras serta Alam Damai. Tidak kah ahli parlimen atau DBKL mengguna jalan ini sebelum ini?

“Masalah seperti tiada lampu malam, tiada penjaga dan banjir kilat sering berlaku berulang kali. Pihak berkuasa seperti CIDB dan DOSH harus bertanggungjawab!” katanya dalam satu kenyataan.