Malaysia Dateline

Kemalangan di LTSAAS: Laporan siasatan dijangka siap dalam tempoh sebulan

Laporan siasatan berhubung kemalangan melibatkan sebuah pesawat persendirian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dijangka siap dalam tempoh 30 hari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, siasatan terperinci kini sedang dijalankan di bawah Badan Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bagi mengetahui punca sebenar berlakunya insiden berkenaan.

Beliau berkata, semestinya siasatan telah dijalankan terhadap insiden berkenaan dan pihaknya tidak boleh membuat sebarang kesimpulan sehingga siasatan lengkap sepenuhnya.

“BSKU akan terus melaporkan perkembangan siasatan kepada saya.Kita tidak boleh buat apa- apa keputusan lagi buat masa ini. Kita juga akan lihat siapa yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap kemalangan itu.

“Kita akan melihat insiden ini dengan lebih teliti. Segala keputusan bergantung kepada laporan insiden nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, dalam kejadian 3.20 pagi Isnin lalu, bahagian bumbung kenderaan jenis Perodua Kembara terbabit, tercabut selepas terkena bahagian sayap pesawat berkenaan, manakala pemandunya tersepit di tempat duduk pemandu, sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya, untuk menerima rawatan.

Pemandu berkenaan, Allahyarham Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali yang bekerja sebagai juruteknik Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB), meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh, jam 6.45 petang Selasa lalu.