Malaysia Dateline

Kemalangan ‘tragis’ ragut tiga nyawa di Sri Aman

Tiga maut dan tiga lagi cedera parah selepas berlaku kemalangan ‘tragis’ membabitkan sebuah kereta proton saga (putih) dengan dua buah lori treler di Jalan Selepong Maleh Sri Aman-Betong lewat petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba Sri Aman telah berjaya mengeluarkan kesemua mangsa di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa yang maut adalah kanak-kanak berusia 12 dan 4 tahun manakala seorang lagi adalah wanita warga emas.

Tambahnya lagi, tiga lagi mangsa yang cedera parah ialah lelaki dan wanita dewasa dibahagian hadapan kenderaan termasuk seorang bayi.

“Setiba di lokasi kejadian, didapati kemalangan telah melibatkan sebuah kereta dan dua buah lori, yang mana seramai enam mangsa dilaporkan tersepit di dalam kereta.

“Berdasarkan maklumat awal, tiga mangsa termasuk seorang bayi yang duduk di bahagian hadapan mengalami kecederaan parah dan tiga lagi penumpang belakang (kereta) iaitu seorang wanita warga emas dan dua kanak-kanak berusia 12 dan empat tahun meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, kesemua mangsa cedera parah dikejarkan ke Hospital manakala mangsa yang maut pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.