Malaysia Dateline

Kemampuan Kabinet ‘kitar semula’ tangani masalah keyakinan perniagaan dipersoal

Barisan Kabinet yang Perdana Menteri Ismail Sabri umumkan tidaklah lebih baik atau meyakinkan berbanding Kabinet lama diteraju oleh Bersatu, kata tokoh wartawan, Datuk Abdul Kadir Jasin.

Beliau yang juga bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu berpendapat Kabinet Ismail Sabri sekadar kitar semula Kabinet Mahiaddin dengan sedikit eksperimen iaitu membawa masuk beberapa orang pemimpin toksik dari parti Umno.

“Ya, kitar semula sisa adalah baik. Ia membantu membersihkan alam sekitar. Tetapi ada sisa yang terlalu kotor dan toksik untuk dikitar semula umpamanya sisa nuklear,” tempelaknya.

Pada 27 Ogos lalu, Ismail Sabri mengumumkan senarai barisan Kabinet baru melibatkan pelantikan 31 menteri dan 38 timbalan menteri.

Naib Presiden Umno tersebut turut mengekalkan jawatan empat menteri kanan seperti yang dilakukan ketika pentadbiran Mahiaddin Yassin sebelum ini.

Kadir Jasin

Mengulas lanjut, Kadir mempersoal sejauh mana Kabinet ‘kitar semula’ pimpinan Ismail Sabri mampu menyelesaikan kemerosotan keyakinan perniagaan seperti didedahkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Adakah Kabinet macam ini boleh mengatasi masalah jurang kredibiliti dan defisit keyakinan yang kronik yang ditinggalkan oleh kerajaan Mahiaddin atau ia macam kata Almarhum P Ramlee, walhasil balik asal itu pasal tak hasil.

“Kalau Kabinet Ismail Sabri ini hebat dan menyerlah, tentulah bukan Khairy Jamaluddin seorang saja yang menarik minat pengulas dan penggiat media sosial,” ujarnya.

Kerajaan gagal

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Berhad tersebut menyifatkan kemerosotan kenyakinan perniagaan itu merupakan antara deretan masalah yang harus diselesaikan kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

“Hasilnya adalah semua sektor perniagaan semakin tidak yakin (pessimistic). Petunjuk keyakinan perniagaan jatuh dengan teruk – sebanyak 21.3 peratus – berbanding kejatuhan 3.1 peratus dalam suku kedua.

“Ini adalah antara timbunan masalah yang perlu ditangani dan diatasi oleh kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Umno jika ia mahu lebih berjaya daripada kerajaan gagal pimpinan Mahiaddin Md Yasin,” katanya menerusi catatan di Facebook pagi ini.

Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi Suku Ketiga 2021 yang diterbitkan pada 26 Ogos lalu melaporkan tahap keyakinan perniagaan terus merosot kepada -21.3 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding -3.1 peratus pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peniaga lebih pesimis terhadap keadaan perniagaan mereka pada suku tahun dikaji susulan pandemik Covid-19 yang semakin teruk dan berpanjangan.

Jelasnya, kesemua sektor menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan untuk suku tahun ketiga 2021.

Menurut laporan itu, petunjuk keyakinan bagi sektor Perdagangan Borong & Runcit merudum ke trajektori negatif dengan -39.4 peratus berbanding +5.6 peratus pada suku tahun kedua 2021.

Hal itu berlaku disebabkan oleh peniaga yang kurang yakin terhadap keadaan perniagaan untuk tempoh tiga bulan akan datang bagi kedua-dua subsektor iaitu Perdagangan Borong dan Perdagangan Runcit.

Sementara itu, sektor Industri dan Perkhidmatan menunjukkan lebih pesimis dengan petunjuk keyakinan masing-masing menjunam kepada -11.0 peratus dan -22.8 peratus pada suku tahun ketiga berbanding -1.5 peratus dan -6.1 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, sektor Pembinaan juga menjangkakan keadaan perniagaan mereka merosot pada suku tahun rujukan dengan -45.0 peratus berbanding -30.5 peratus yang dicatatkan pada suku tahun lalu.