Malaysia Dateline

Kemana kita selepas PRU15 jika inilah bentuk Bajet 2023

Imam Al Mawardi dalam kitabnya Al Ahkam As Sultaniayah melakarkan pandangan beliau mengenai asas sebuah masyarakat:

Asas-asas tersebut antara lain;
1.    Agama yang diikuti (دين متبع) ;
2.    Penguasa/pemimpin yang kuat (سلطان قاهر).
3.    Keadilan yang merata (عدل شامل)
4.    Rasa aman yang menyeluruh (أمن عام)
5.    Tanah yang makmur (خصب دار) atau terpenuhnya keperluan ekonomi
6.    Harapan positif tentang masa depan (أمل فسيح)

Puluhan kali ketika pembentangan bajet 2023 oleh Senator Menteri Kewangan di Parlimen Malaysia pada 6 Oktober mengulang-ulang tentang  kalimah keramat kabinet pintu belakang iaitu “Keluarga Malaysia”. Hakikatnya kita yang cerdas akal, semua itu retorik dan istilah palsu politik. Perjalanan Kabinet sudah menjadi rahsia umum tidaklah berasaskan hujah Imam Mawardi mengenai asas sebenar pembinaan sebuah masyarakat.

Benar masyarakat kita secara perlembagaannya mempunyai agama tetapi ia telah di’gubah’ oleh kepimpinan yang menunggang agama.  Konsep Keluarga Malaysia yang di‘gah’kan tidak terajui oleh kepimpinan yang kuat, malahan hanya dipimpin oleh seorang PM ‘remote control’, tiada keadilan yang merata malah kekayaan dan khazanah negara hanya untuk segelintir masyarakat yang mengelilingi kepimpinan.

Keluarga Malaysia tidak merasa keamanan yang menyeluruh dengan gangguan pencacai politik dan cybertroper yang menjadi bakteria meracun pemikiran umat, tanah air ini tidak lagi makmur sepenuhnya di mana kekayaan hanya  berlegar di kalangan ‘Keluarga Malaysia terpilih” dan tiada lagi harapan positif tentang masa hadapan.

Catatan Mawardi mengenai politik Islam ini telah benar-benar menjadi kenyataan. Kitab besar beliau telah membuktikan kebobrokan, kelesuan kepimpinan, hancurnya nilai masyarakat, ekonomi yang lumpuh dan tiada lagi harapan positif di masa hadapan jika kita terus-terusan diterajui oleh kepimpinan rasuah, salah guna kuasa, penunggang agama, ulama’ berlidahkan fitnah dan pembohongan, sudah hilang rasa keamanan dan tiada lagi keadilan yang merata.

Slogan “Satu Malaysia” mahupun “Keluarga Malaysia”, hanyalah penjenamaan yang rohnya masih sama, iaini SAKAU SATU MALAYSIA. Keluarga Satu Malaysia namun agama dijadihan taruhan atau bahan dagangan untuk mengekalkan kekuasaan, fitnah menjadi resam kehidupan, memburukkan lawan dengan fitnah (contoh memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Freemason), memecahkan masyarakat dengan sentimen perkauman sempit (menyandarkan DAP sebagai sasaran untuk menjustifikasi kerajaan Melayu-Islam ala Umno/Pas/Bersatu).

Walaupun kerjaan Keluarga Malaysia didokong oleh sekumpulan lagi parti yang mengatakan asasnya Islam, namun kesemua asas yang dinyatakan oleh Imam Mawardi tidak sekali-kali menjadi asas pembentukan kerajaan. Memang itulah tabiat kerajaan pintu belakang yang menjadikan asas utamanya jawatan, pangkat dan kedudukan. Nyawa sokongan kepada kerajaan ini hanyalah kuasa, kedudukan dan jawatan.

Semangat sebuah kabinet yang utuh dan berintegriti amat jauh sekali. Seramai 12 orang anggota kabinet yang mewakili PN telah mengutus warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong (YDPA). Dan warkah ini diutus dalam suasana dimana PM sedang ditekan oleh partinya sendiri supaya menyembah nasihat kepada YDPA supaya parlimen dibubarkan dan PRU diadakan pada tahun ini juga. Ini menunjukkan anggota jamaah menteri merangkap “ahli syura kerajaan” telah membelakangkan PM (atau lebih tepatnya mengkhianati PM).

Inilah semangat kabinet yang amat pelik dan tidak sama-sekali menghormati pimpinan kabinet (Amir kepada kabinet). Ada dua perkara yang sangat ketara sekarang iaiut; PM amat lemah dan tidak menguasai kepimpinan kabinet dan senario kedua dimana bagi anggota kabinet bahawa PM hanya mewakili kelompok sangat kecil yang menyokong kerajaan sediada (38 ahli parlimen BN).

Sekiranya PM benar-benar berkuasa, seharusnya kesemua 12 yang menulis warkah kepada YDPA harus digugurkan keanggotaan dalam kabinet. Namun ini tidak akan berlaku kerana kegoyahan majoriti yang dimilik oleh kerajaan.

Dan diantara paling pelik adalah mengenai pembentangan Bajet 2023, yang tidak memperolehi konsensus diantara parti gabungan kerajaan. Mahiaddin selaku Pengerusi PN dalam satu kenyataan menggambarkan bahawa ‘kita tengok dahulu apa yang akan dibentangkan’. Kelihatannya tiada perbincangan pra kabinet atau diantara parti gabungan untuk mencapai konsensus mengenai falsafah dan intipati bajet 2023.

Bajet 2023 juga dari sudut realiti ekonomi global semasa pula amat tidak terarah. Bajet ini tidak mengambil kira kedudukan semasa dalam dan luar negara. Kedudukan Ringgit berbanding Dolar Amerika tidak dianalisis, kedudukan pasaran Eropah dan China juga tidak diambil kira dan begitu juga kebangkitan gergasi baru ekonomi Asia Tenggara seperti Indonesia juga tidak di pertimbangkan dan seterusnya kerancakan dasar fiskal Singapura pasca pandemik juga tidak dirungkai untuk menjadi garis asas (base-line) demi saingan sihat.

Sementelahan pula dengan kedudukan bahan mentah, ekosistem pertanian pintar, tumpuan terhadap dasar keselamatan makanan terfokus juga tidak kelihatan. Kumpulan sasar juga tidak sesuai pada masa ini, banyak memberikan ‘gula-gula’ politik menghadapi pilihanraya.

Bajet juga tidak mempertimbang akan pembangunan dasar Islam yang lebih mantap walaupun Pas terlibat dalam kerajaan, seolah-olah peranan Pas adalah amat tidak signifikan dalam kerajaan. Bajet yang dibentang melalui kesinambungan Kabinet Pintu Belakang adalah bajet terlemah sejak merdeka dan tidak ada petanda mengembalikan kegemilangan Malaysia dirantau ini mahupun diperingkat global.

Akhirnya, kerajaan yang berwajah pengkhianat demokrasi ini jika berterusan akan terus memperdaya rakyat dan jika mencapai kemenangan dalam pilihanraya ke15 akan membawa kehancuran kepada seluruh sistem dalam negara. Ekonomi akan terus merudum, keadilan akan terhapus, amalan kronisma dan nepotisma akan kembali rancak, Islam akan hanya menjadi topeng kepada pemimpin, amalan perkauman sempit akan merosakkan kehidupan masyarakat majmuk dan kehidupan rakyat akan semakin terhimpit dengan inflasi.

Jika rakyat tidak membuka minda, tidak berfikir sebelum memutuskan untuk membuat pilihan dalam PRU15, rakyat akan merana untuk bukan sahaja lima tahun akan datang tetapi mungkin untuk 60 tahun lagi. Sejarah kepimpinan Umno/BN selama lebih 60 tahun lalu akan berulang dengan kesengsaraan rakyat, kemeranaan berpanjangan dan kepincangan dalam dasar keadilan,

—–

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan. Walaubagaimanapun penulisan ini adalah merupakan pendapat penulis dan tiada kaitan dengan pendirian akademi.