Malaysia Dateline

Dasar empangan kering kontang

Kemarau: P Pinang sediakan bajet khas untuk pembenihan awan

Berikutan musim kemarau dan cuaca panas di negeri-negeri utara Semenanjung, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak RM300, 000 untuk operasi pembenihan awan segera sehingga Mei 2020.

Malah musim peralihan monsun sangat sesuai untuk mencetuskan hujan bagi mengisi semula enam empangan utama Pulau Pinang dan juga Kedah.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Berhad dan PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

DATUK IR JASENI MAIDINSA

Jelas beliau lagi, seramai 3.95 juta penduduk di Pulau Pinang dan Kedah memerlukan bekalan air yang berterusan kerana mereka perlu duduk di rumah dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Sedangkan, katanya, kapasiti efektif enam empangan utama di Pulau Pinang dan Kedah pada masa ini sangat rendah kerana hujan yang luar biasa rendah sejak separuh kedua 2019.

“Objektif utama adalah untuk segera melaksanakan operasi pembenihan awan dari akhir April hingga Mei bagi memastikan kecukupan air mentah untuk Pulau Pinang dan Kedah hingga musim hujan berikutnya pada bulan Ogos 2020.

“Pelan PBAPP telah diluluskan oleh exco kerana kini merupakan musim peralihan monsun ketika adanya awan hujan dan kebarangkalian kejayaan mencetuskan hujan adalah lebih tinggi.

“Sejajar dengan itu operasi pembenihan awan akan dilakukan oleh syarikat yang disyorkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia yang akan memberikan nasihat mengenai operasi pembenihan awan,” tegasnya.

Tambah Jaseni lagi, PBAPP menganjurkan untuk meningkatkan kapasiti efektif empangan Air Itam sebanyak 20 peratus, Teluk Bahang sebanyak 15 peratus dan Mengkuang sebanyak 5 peratus dari operasi pembenihan awan dan hujan peralihan monsun semasa dalam bulan April hingga Mei 2020.

“Kapasiti tambahan ini diperlukan pada bulan Jun 2020 bagi memastikan kecukupan bekalan air untuk negeri Pulau Pinang sehingga musim peralihan seterusnya pada Ogos 2020.

“Pada masa yang sama, PBAPP akan turut memantau dengan teliti kapasiti efektif empangan Muda, Beris dan Pedu di Kedah serta paras air Sungai Muda,” jelasnya.

Ia juga berkata, objektif sekunder operasi pembenihan awan adalah bagi meningkatkan kapasiti efektif semua enam empangan utama di Pulau Pinang dan Kedah sebanyak mungkin pada tahun 2020 sebagai persiapan untuk musim kering berikutnya pada awal 2021.