Malaysia Dateline

Kemaruk negara Arab berbaik dengan Israel

Terdapat suatu kecenderungan dalam kalangan negara Islam terutamanya negara Teluk untuk berbaik dengan Israel. Banyak juga didengari daripada pembacaan di laman sesawang mengenai hubungan tidak rasmi antara negara Arab dengan Israel.

Perjanjian damai dan normalisasi hubungan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sudah mengesahkan apa yang terselindung di belakang tabir selama ini.

Hubungan antara UAE dan Israel tidak berlaku secara mendadak misalnya dua mingu lepas membuat keputusan seminggu selepas itu sudah termerterai perjanjian dan hubungan diplomatik.

Apabila hubungan diplomatik sudah dimeterai harus terdapat tolak ansur dalam perkara yang dibincangkan. Antara yang merangkui dalam perjanjian ini ia soal keselamatan, pelancongan, teknologi, tenaga, budaya, kesihatan, alam sekitar dan perdagangan.

Alasan Putera Mahkota Mohammed bin Zayed, pemerintah de-fakto UAE bahawa kejayaan rundingan lebih tertumpu kepada persetujuan Israel untuk ‘menghentikan penaklukan di wilayah Palestin’ sebagai pertukaran kepada rancangan besar AS untuk menguasai Timur Tengah.

Tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata tiada perubahan dalam rancangan penaklukan wilayah Palestin. Bahkan beliau menjelaskan dalam media dalam talian Time of Israel, perjanjian damai bukanlah pertukaran untuk sesuatu perkara. Ada pula yang mengatakan penaklukan memang sudah tertangguh sebelum rundingan damai. Jadi mana satu yang betul.

Netanyahu menafikan kenyataan pemimpin de-fakto UAE sebagai menolak wujud kompromi di situ, namun ini telah menunjukkan betapa lemahnya pemimpin Arab sanggup membuat perjanjian dan mengiktiraf sebuah negara entiti haram tanpa perlu berkorban demi umat Islam. Maruah umat Islam Palestin sudah tergadai. Jangan berharap kepada pemimpin negara Arab lagi.

Bagaimana nasibnya isu Baitulmaqis yang menanti untuk dibaham Israel akan dibiarkan begitu sahaja.

Adakah dengan perjanjian UAE akan meminggirkan dan memberi keutamaan kepada hubungan dua hala dan meningkat urusan perdagangan antara dua negara?

Nampaknya harapan ialah kepada rakyat di negara Arab dan pemimpin bukan Arab seperti Turki, Iran, Malaysia dan lain-lain. Hanya kepada Allah swt kita harapkan.

Jika siri pengkhianatan dalam kalangan politikus di negara berlaku dengan berleluasanya maka pengkhianatan juga berlaku di peringkat antarabangsa ketika UAE berdamai dengan regim haram Israel.

Kemaruk UAE dan negara Teluk lain ingin mengadakan hubungan baik dengan dapat dijejaki sejak beberapa tahun yang lalu.

Tempat solat orang Yahudi yang telah dibina beberapa tahun lalu di UAE kini telah mempunyai seorang rabai pada 14 Mei tahun lepas. Ini berikutan keputusan yang dicapai dalam sebuah forum yang didanai oleh Liga Anti-Defamasi dan UAE yang bersetuju untuk menghantar seorang rabai dan rumah ibadat telah dibuka dengan rasminya.

Jared Kushner, seorang keras pro-Yahudi, menantu Trump adalah rakan akrab Putera Mahkota Putera Mohammed bin Salman (MBS). Tahun lepas juga Menteri Luar Baharain dalam temubualnya dengan media Israel telah menekankan peri pentingnya peranan Israel di Timur Tengah pada masa kini. Sudah terdapat kecenderungan dalam jalinan hubugan Arab-Israel.

Sejak kehadiran entiti haram ini di rantau Timur Tengah pada 1948, telah berlaku permusuhan Arab-Israel berhubungan wilayah Palestin yang diserang, ditakluki dan ditawan. Beberapa siri peperangan telah berlaku. Dan Israel telah berjaya mencapai beberapa perjanjian damai dengan Mesir pada 1979 dan Jordan 1994.

Secara retoriknya kembali kepada persoalan di atas, kenapa kemaruk mengadakan hubungan dengan Israel? Tiada jawapan tepat seperti 1+1 = 2 tetapi terdapat beberapa perkembangan yang merisaukan mereka, yang memperlihatkan ancaman strategik kepada kedaulatan negara-negara Teluk ini.

Jawapannya di sini ialah Iran. Negara-negara Teluk merasakan bahawa AS, dan Israel berhadapan dengan isu yang sama iaitu masalah keselamatan dan gangguan kepada sumber minyak.

Arab Saudi misalnya semakin membenci Iran yang mencabar hegemoninya. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini kerajaan Saudi telah berusaha menjadi kuasa ekonomi serantau dengan menggunakan kuasa dan pengaruh OIC. Di bawah MBS, Saudi telah mengerakkan usaha menguasai Yaman apabila pihak Houthi yang merampask kuasa pemerintah pro Saudi dikatakan menyebelahi Iran.

Kuasa Saudi juga telah mengamal dasar luar yang agresif dengan mengasing Qatar yang menyokong Turki dan Hamas serta Pertubuhan Islam Ikwan Musliman yang diharamkan di Mesir. Ini di antara kenapa Saudi menyokong AS di Timur Tengah.

Namun apabila perang di Yaman tidak berjaya dimuktamadkan dan mengalami kebuntuan, sekutu Saudi, UAE juga menarik diri, Saudi dilihat berada keadaan tidak menentu.

Isu Covid-19 telah mencetuskan masalah ekonomi kepada Saudi dengan harga minyak jatuh, minyak tidak dapat dieksport, pendapatan daripada umrah dan haji terjejas kerana umat Islam tidak dapat menunai ibadat akibat kuarantin dan perintah kawalan sejagat.

Kejayaan MBS yang terbatas, dan ancaman Iran yang semakin meningkat serta suara kritikan dalam dan luaran terhadap dasar dalam MBS yang membunuh pengkritik telah menjadi sebab musabab bagi beliau untuk mencari rakan yang lebih kuat dan berpengaruh. Maka gabungan Mesir, UAE dan Israel adalah perikatan mantap bagi Saudi dalam menghadapi musuh bersama iaitu Iran.

Pengajaran dari revolusi Arab Spring 2011 di mana kebebasan berpolitik boleh membawa kepada keruntuhan sesebuah kerajaan dan kacau bilau.

Dalam usaha bagi mengelakkan cabaran politik, kebanyakan sistem politik negara Arab telah membuat pelaburan yang banyak dalam keselamatan dalam negeri dan membanteras sebarang pembangkang.

Namun pada masa yang sama Arab Saudi dan UAE misalnya telah berusaha ke arah keterbukaan masyarakatnya seperti membenarkan wanita memandu di Saudi, mengadakan konsert di Jeddah, mempertingkatkan hak jantina dan kemajmukan agama di UAE.

Kerajaan negara-negara Teluk lebih mementingkan kuasa daripada perjuangan rakyat Palestin dan banyak manfaat yang diperolehi jika merasmikan hubungan dengan Israel, yang terkenal dengan teknologi sekuriti dan kecanggihan teknologi dalam industri pertanian. Bahkan beberapa tahun lalu, UAE dan negara jiranya telah membeli dan menggunakan prisian perisikan dari entiti haram Israel.

Bayangkan dengan hubungan rasmi dimeterai dan tiada lagi halangan diplomatik, kerjasama Israel dan UAE akan memanfaatkan ekonominya dalam banyak perkara dan Israel akan terbuka kepada capaian meluas ke negara-negara Teluk dalam bentuk pelaburan, laluan udara, hubungan dua hala dan juga pelancongan.

Dan tentunya ada pengorbanan yang harus dilepaskan, mengenepikan sokongan kepada perjuangan membela rakyat Palestin dan merestui kedaulatan entiti haram Israel ke atas wilayah Tebing Barat dan Gaza.

Kemaruk mengadakan hubungan dengan Israel bukan sahaja terbatas kepada negara Teluk tetapi aktor-aktor serantau seperti proksi dukungan UAE Majlis Transisi Selatan Yaman (STC), Tentera Nasional Libya (LNA) yang dipimpin oleh Khalifa Haftar dan Unit Keselamatan Rakyat Kurdish (YPG).

Bayangkanlah dengan STC dan Haftar melahirkan minat untuk mengadakan hubungan dengan Israel dalam beberapa bulan lepas dan YPG meminta sokongan Israel dalam berhadapan dengan Turki, tidak keterlaluan jika dikatakan secara diam-diam Israel akan menjadi kuasa serantau yang berpengaruh. Bahkan hegemoni Israel telah menjalar ke wilayah benua kecil India apabila Israel memberi khidmat nasihat kepada India dalam berhadapan dengan pejuang Islam di Khasmir.

Maka tidak terkejut jika Israel akan turut serta dengan UAE dan negara-negara Teluk yang lain dalam penentangan ke atas dasar luar Turki dan Iran. Ankara sedang mengembangkan projek saluran minyak Mediteranian Timur (EastMed pipe line) dan berhadapan dengan cabaran. Bahkan Ankara telah mengugut menangguhkan hubungan dengan Abu Dhabi selepas perjanjian damai dengan Tel Aviv.

Kemaruk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel akan diikuti oleh Bahrain dan Oman yang dikatakan semakin dekat mengadakan hubungan rasmi. Saudi diam membisu mungkin kemaruk juga tetapi Riyadh adalah penjaga dua masjid mulia umat Islam.
Sebarang gerak ke arah hubungan rasmi tentuya akan dibantah oleh umat Islam. Saudi tidak menyokong Hamas dan tidak berapa baik dengan Turki, mencemburui jika Ankara bertindak sebagai kuasa serantau.

Dalam hubungan ini, kita melihat bahawa negara-negara Arab tidak lagi memperjuangan nasib rakyat Palestin apatah lagi menyelamatkan Baitulmaqdis daripada ditelan entiti haram Israel.

Apa yang akan mereka suarakan hanyalah dari segi perjanjian ekonomi Palestin dengan Israel yang idak memihak kepada Gaza dan Tebing Barat. Maka apa yang akan berlaku adalah lebih banyak penguasaan oleh kapitalis Israel dan Arab.

Segala syarat perjanjian damai yang dimeterai antara negara Teluk dah Israel harus diakui memihak kepada pihak entiti haram daripada negara Arab. Mereka akan terikat kepada keuntungan di pihak pemerintah dan elit berkuasa. Kejayaan besar tentulah Trump.

Impian merealitikan sekurang penyelesaian dua pihak dengan memberikan kedaulatan kepada Palestin hanyalah fartamorgana, semakin lenyap, hanya Malaysia, Turki, Iran dan beberapa kerat negara Islam yang masih setia dalam perjuangan membebaskan rakyat Palestin daripada penaklukan entiti haram Israel.

Kebanyakan negara Arab sudah kemaruk mengadakan hubungan dengan Isreal berdasarkan habuan yang akan mereka nikmati.

Kalau tidak silap saya, ada hadis yang mengatakan Dajal akan menawarkan syurga dunia yang sebenarnya adalah neraka, perjuangan rakyat Palestin yang merupakan neraka dunia sebenarnya adalah syurga.

Bangsa Arab yang Alllah hormati dengan kedatangan Nabi Muhammad saw di bumi yang mulia ini telah kembali ke kehidupan Jahiliah mereka!

 

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.