‘Kemaruk’ tonton bola sepak Piala Dunia, pemuda alami lumpuh di muka akibat kurang tidur

Oleh KIM SYAZIE

Gara-gara obses menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022, muka seorang lelaki di China lumpuh hingga dimasukkan ke hospital kerana dipercayai kurang tidur.

Oddity Central melaporkan, Cao, 26, iaitu peminat bola sepak dari Wuhan, di wilayah Hubei bukan hanya tidak tidur semalaman, tetapi seminggu kerana menonton semua perlawanan.

Walaupun China tidak layak ke Piala Dunia tahun ini, Cao enggan ketinggalan, sebaliknya akan memandu terus ke rumah selepas bekerja dan menonton perlawanan dari sekitar 6 petang hingga 6 pagi kemudian pergi bekerja beberapa jam kemudian.

Awalnya keadaan pemuda itu baik saja, tetapi dia kemudian sedar kekurangan tidur akhirnya memberi kesan buruk, namun sudah terlambat.

“Pada 30 November, saya tidur selama dua jam selepas menonton perlawanan, apabila bangun, saya berasa amat letih.

“Saya tidak terlalu memikirkannya dan memutuskan untuk berehat sebentar di pejabat, tetapi selepas beberapa ketika, keadaan saya nampaknya tidak bertambah baik,” katanya kepada pemberita.

Cao kemudian merasakan perubahan bibirnya yang tiba-tiba senget dan tidak dapat menggerakkan kelopak matanya.

Dia tidak panik kerana menyangka ia hanya sementara, bagaimanapun simptom yang ada menjadi lebih teruk dan mula mengganggu kerja hingga memaksanya ke hospital.

Di hospital, Cao disahkan menghidap lumpuh pada wajah dan perlu menjalani rawatan khusus untuk mengurangkan gejala, tetapi dijangka pulih sepenuhnya.

Doktor percaya kurang tidur ditambah dengan cuaca sejuk dan angin kencang menyebabkan lelaki berkenaan lumpuh di muka dan menasihatkan peminat bola sepak yang lain supaya tidak mencontohi tabiat Cao.

Baca Juga: Anwar ibarat buku yang menarik untuk dibaca – Rakyat bangga ada PM bertaraf dunia

Baca Juga: Beli beg pakaian daripada barangan lelong, satu keluarga terkejut lihat isinya