Malaysia Dateline

Kemasukan Bersatu dalam Muafakat Nasional dibincang malam ini

Mesyuarat Muafakat Nasional (MN) malam ini bakal membincangkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi dalam gabungan tersebut.

Mesyuarat itu akan disertai Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata Setiausaha Agung Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, katanya tiada wakil Bersatu yang akan hadir kerana pihaknya sudah pun menerima jawapan rasmi serta kesediaan parti itu untuk menyertai MN melalui Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Mesyuarat selalunya dijalankan setiap dua minggu, namun sudah beberapa kali terbatal atas beberapa sebab termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Usul berkaitan kemasukan Bersatu secara rasmi dalam MN sememangnya sudah ada dalam minit mesyuarat sebelum ini dan ia akan dibincangkan malam ini,” katanya selepas menghadiri program Operasi Sanitasi Awam di Presint 4, hari ini.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata perbincangan mengenai kemasukan Bersatu itu memerlukan draf memorandum persefahaman (MoU) dan piagam yang baharu, serta tidak boleh menggunakan kaedah sama dengan kerjasama antara Umno dan Pas sebelum ini.

“Sekiranya Bersatu masuk, kita akan bincang kerjasama. Yang penting kerjasama demi mengutamakan penyatuan dan perpaduan politik Melayu,” katanya.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos lalu memberitahu Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’.