Kemasukan Bersatu ke Sabah diharap dapat kembalikan tuntutan aspirasi rakyat, kata Upko

Kemasukan Bersatu ke Sabah diharap dapat kembalikan tuntutan aspirasi rakyat, kata Upko

Naib Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick (gambar) berharap kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah dapat mengembalikan tuntutan aspirasi rakyat di negeri ini untuk mendapatkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Beliau berkata kerajaan Sabah kini sedang memperjuangkan tuntutan aspirasi rakyat Sabah yang ini melihat bayaran royalti minyak dinaikkan, cukai-cukai dikembalikan dan autonomi pentadbiran Sabah dikembalikan sepertimana pada tahun awal penubuhan Malaysia.

“Oleh itu kami berharap semua tuntutan aspirasi rakyat itu dapat dikembalikan berikutan kemasukan Bersatu di Sabah. Saya percaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai ruang bahawa beliau boleh melaksanakan perkara yang tidak dapat dilaksanakan semasa beliau menjadi perdana menteri (keempat) sebelum ini, terutamanya soal royalti dan cukai.

“Selaku perdana menteri kini, beliau (Dr Mahathir ) mempunyai ruang untuk menunaikan aspirasi rakyat Sabah…kerana rakyat Sabah akan melihat sama ada kemasukan Bersatu akan dapat mengembalikan tuntutan aspirasi rakyat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Hala Tuju Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam bahawa Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak boleh melarang kemasukan Bersatu ke negeri ini.

Mengulas lanjut, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata walaupun tidak boleh melarang kemasukan Bersatu di Sabah, namun pendirian Warisan dan parti tempatan yang berada dalam kerajaan Sabah kini sudah cukup jelas.

“Kita ketahui Bersatu melebarkan sayap ke Sabah kerana permintaan beberapa wakil rakyat dan sebahagian rakyat Sabah kerana mereka juga mempunyai hak berkenaan…oleh itu kita pulangkan semula kepada rakyat Sabah untuk menilai perkara itu.

“Sekarang apa yang penting ialah bagaimana kita mengharmonikan pentadbiran kerajaan Sabah serta mengharmonikan hubungan kerajaan negeri dan pusat bagi memastikan tuntutan kita seperti royalti minyak yang lebih besar dapat dilaksanakan,” tambahnya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi Bersatu, mengumumkan keputusan parti untuk melebarkan sayapnya ke Sabah.

Pada masa sama, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor mengesahkan lima Anggota Parlimen dan lapan Anggota Dewan Undangan Negeri yang keluar UMNO Disember lepas, menyerahkan permohonan untuk menyertai Bersatu.