Malaysia Dateline

Kemasukan ke Sarawak diperketat berikutan Sabah diisytihar Zon Merah

Bermula hari ini, rakyat Malaysia dan warga asing dari Sabah yang mahu memasuki Sarawak akan menjalani prosedur yang diperketatkan ekoran negeri itu diisytiharkan Zon Merah selepas merekodkan lebih 41 kes semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, keputusan tersebut adalah hasil mesyuarat yang diadakan semalan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan banyak kes positif Covid-19 dilaporkan di Sabah setakat ini.

JPBN berkata, perjalanan dari Sabah atau Labuan ke Sarawak bagi semua rakyat Sarawak dan pemegang Pas Pemastautin Tetap (PR) Sarawak atau pemegang Pas Visa Sarawak perlu memohon kebenaran dengan mengisi secara dalam talian (online) aplikasi EnterSarawak sebelum masuk ke negeri ini.

“Mereka ini akan dikenakan kuarantin di rumah selama 14 hari dan diberi gelang tangan dan ujian calitan rT-PCR akan diambil pada hari kedua dan hari kesepuluh yang mana kos ini akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.

“JPBN turut memutuskan semua rakyat Malaysia (Semenanjung/Sabah/Labuan) dan warga asing yang ingin memasuki Sarawak melalui Sabah dan Labuan perlu memohon kebenaran masuk ke Sarawak.

“Mereka diwajibkan mengisi secara dalam talian aplikasi ‘EnterSarawak’ dengan melampirkan keputusan ujian COVID-19 (rT-PCR) dan dalam masa tiga hari sebelum mereka diluluskan untuk masuk ke Sarawak,” ujar JPBN dalam satu kenyataan.

Malah, tegas JPBN, individu terbabit juga akan diberi pas masuk lima hari terhad di Sarawak selain harus melampirkan tiket penerbangan perjalanan pulang.

Ini kerana, kata JPBN individu yang tidak melampirkan keputusan ujian rT-PCR COVID-19 yang sah dalam tiga hari sebelum kemasukan tidak akan diberi kelulusan masuk ke Sarawak.

“Untuk perjalanan yang berulang alik kerap dari Sabah atau Labuan Ke Sarawak pula, kita berharap semua warganegara dan warga asing kategori ini termasuk perkhidmatan penting, mereka perlu memohon pas khas dari JPBNS Bahagian (Pejabat Residen).

“Selain itu, mereka juga dikehendaki untuk diambil sampel COVID-19 setiap 14 hari.

“Hasil keputusan ujian rT-PCR COVID-19 nanti, mereka hanya akan sah selama 14 hari, jika mereka gagal melakukannya, pas khas tersebut akan dianggap tidak sah,” jelas JPBN.

Tambah JPBN, bagi semua warganegara dan warga asing yang memasuki Sarawak perlu mengisytiharkan sekiranya mereka berada di Sabah atau Labuan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Jika mereka membuat pengisytiharan palsu, mereka akan dikenakan tindakan di bawah ‘State Protection of Public Health Ordinance 1999’.

“Manakala bagi transit melalui Sabah atau Labuan ke Sarawak pula, semua warganegara dan warga asing yang memasuki Sarawak melalui perjalanan transit di Sabah dan Labuan harus memohon kebenaran masuk ke Sarawak dengan mengisi secara dalam talian ‘EnterSarawak’.

“Namun semua penerbangan yang hanya transit melalui Sabah dan Labuan, selagi mereka tidak keluar dari lapangan terbang adalah dibenarkan masuk ke Sarawak tanpa perlu melampirkan keputusan ujian rT-PCR COVID-19,” kata JPBN lagi.

Sementara itu, JPBN memaklumkan Sarawak semalam merekodkan sifar kes positif baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kekal sebanyak 703 kes.

“Semalam, jumlah kluster yang masih aktif kekal satu iaitu Kluster Alam, Bintulu yang melibatkan seramai lapan kes,” tambah JPBN.