Malaysia Dateline

Kemasukan pengembara dari China: Malaysia digesa semak semula protokol Covid-19

Malaysia mesti melihat semula dasar berkenaan ketibaan pengembara dari China ekoran langkah republik itu menarik balik sekatan perjalanan untuk rakyat mereka, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, dalam tempoh kurang 10 hari ini, Malaysia perlu bersedia secukupnya dalam berdepan kemasukan pengembara khususnya dari China.

“Kita perlu melihat semula dasar berkenaan ketibaan pengembara dari kawasan-kawasan berisiko.

“Terdapat negara Eropah yang segera merangka langkah-langkah bagi mengendalikan kemasukan pengembara dari China.

“Begitu juga dengan Amerika Syarikat yang mengenakan syarat kepada pengembara dari China sebelum dibenarkan memasuki negara itu, iaitu perlu menunjukkan ujian saringan dengan keputusan negatif Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ratusan ribu rakyat di Malaysia hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 dan siri PKP.

Wabak Covid-19 kembali mengganas di China dengan wilayah perindustrian Zhejiang berdepan sejuta jangkitan baharu Covid-19 setiap hari, lapor media beberapa hari lalu.

Bahkan, jumlah tersebut dijangka melonjak sehingga dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari lagi.

Susulan keputusan China melonggarkan sekatan, dilaporkan kes kematian terbaru akibat Covid-19 di Beijing melambung dengan ramai rakyat di negara itu demam dan upacara pengebumian meningkat.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Kementerian Kesihatan mesti mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mencegah lonjakan penularan Covid-19 lebih-lebih lagi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, baik semasa mahupun selepas perayaan.

“Saya sangat berharap Menteri Kesihatan yang baru dilantik akan melihat isu ini dengan serius. Jika perlu, semaklah semula protokol kesihatan.

“Saya doakan yang terbaik buat Malaysia dan terserahlah kepada pakar-pakar perubatan KKM untuk membuat keputusan mengikut data saintifik,” ujarnya lagi.

Bekas Menteri Pengangkutan itu juga berharap Malaysia tidak harus lagi mengharungi sekatan ketat seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Dalam hal berkaitan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dilapor berkata, rakyat negara ini disyor mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 ekoran lonjakan kes penyakit membawa maut itu di China.

Menurutnya, langkah siap siaga awal itu disaran terutama barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi walaupun kes Covid-19 dalam negara ini masih terkawal dan menyusut.

Baca juga Mengurus Covid-19 bukan hanya jaga nyawa