Malaysia Dateline

Kemasukan pesakit menurun: Hospital Selayang, Serdang dijangka bukan lagi hospital Covid-19

Susulan kes Covid-19 di Selangor yang menunjukkan tren penurunan bermula awal Ogos lalu, dua buah hospital dijangka tidak akan dikategorikan sebagai hospital untuk pesakit Covid-19.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan sedang merancang untuk mengembalikan semula fungsi Hospital Selayang dan Serdang sebagai hospital biasa memandangkan data kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital berkenaan semakin menurun.

Menurutnya, hospital berkenaan juga dijangka tidak akan menerima pesakit Covid-19 dalam tempoh terdekat dan merancang untuk menggunakan Hospital Sungai Buloh dan Ampang sahaja bagi merawat kes positif.

“Bermula pertengahan September, Hospital Selayang dan Serdang sudah di-‘hybridkan’. Maksudnya mereka tidak lagi akan dikategorikan sebagai ‘fully Covid-19 hospital’ atau hospital untuk pesakit Covid-19 sepenuhnya. Sekarang ini kalau ada kes, akan dihantar ke Hospital Ampang dan Sungai Buloh.

“Kita nak balik semula kepada asal. Katil-katil yang dulu kita bagi pada pesakit Covid-19, boleh dikosongkan. Mungkin menjelang 30 Oktober, kita akan tinggal hanya dua hospital Covid-19.

“Pesakit yang dirujuk ke Taman Eskpo Pertanian Malaysia (MAEPS) juga semakin berkurangan,” katanya dalam sidang media semalam selepas mempengerusikan mesyuarat di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNT).

Sementara itu, Dr Siti Mariah memaklumkan bahawa penurunan kes ketika ini adalah sangat jelas selagi gus menunjukkan Selangor berada di landasan sepatutnya.

“Ini adalah antara perkara yang rakyat Selangor kena faham bahawa inilah harga pengorbanan semua orang yang menjaga prosedur operasi standard (SOP) termasuk yang melengkapkan vaksinasi,” katanya.