Malaysia Dateline

Kematian Adun PH amaran Allah: Balu tuntut Mohamed Satim mohon maaf

Ketua Umno Bahagian Puchong, Datuk Mohamed Satim Diman diberi tempoh 48 jam untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang didakwa telah mengaitkan kematian empat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebagai amaran daripada Allah.

Adibah Ahmad, balu kepada bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, berkata sebagai seorang yang bergelar pemimpin beragama Islam, Mohamed Satim tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan biadap yang mengguris hati keluarga wakil rakyat yang sudah meninggal dunia.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini sebagai mewakili keluarga tiga lagi bekas Adun Selangor, beliau berkata mereka akan berbincang mengenai tindakan seterusnya sekiranya Mohamed Satim berdegil dan tidak menginsafi akan kenyataannya.

“Sesungguhnya tidak ada mana-mana pangkat, darjat, latar belakang parti politik yang dapat menghalang takdir Allah berkaitan kehidupan dan kematian.

“Inilah qada dan qadar Allah, kami sekeluarga mendoakan supaya tiada lagi unsur-unsur kempen yang melampaui batas norma dan budaya kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Hulu Langat hari ini.

Turut hadir, Adun Teratai, Brian Lai Wai Chong yang mewakili keluarga bekas Adun Balakong, mendiang, Eddie Ng Tien Chee dan anak penyandang Dun Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, Fitri Al-Amin.

Tuntutan tersebut ekoran kenyataan Mohamed Satim dalam satu ceramah semalam yang didakwa telah mengaitkan kematian wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebagai amaran daripada Allah supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

Kesemua PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong dimenangi oleh calon daripada PH.

Manakala PRK Dun Semenyih pula bakal diadakan pada Sabtu ini berikutan kematian Bakhtiar pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Sementara itu, menurut Wai Chong, mereka memberi tempoh dua hari kepada Mohamed Satim untuk membuat permohonan maaf.

“Kami beri dia dua hari untuk minta maaf. Kalau tidak, pihak kami akan buat tindakan selanjutnya,” katanya.