Malaysia Dateline

Kematian akibat Covid-19 di Selangor naik 100 peratus tapi vaksinasi masih amat lembab

Selang sebulan sahaja, kadar kematian akibat Covid-19 di Selangor naik melambung mencecah 100 peratus ketika program vaksinasi di negeri itu dilihat amat lembab.

Semakan Malaysia Dateline pada data Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor mendapati sebanyak 1,240 kes kematian direkodkan sehingga 18 Jun dengan 7,283 kes aktif Covid-19 ketika itu.

Namun, sehingga semalam, jumlah kematian di Selangor akibat pandemik itu sudah sebanyak 2,484 kes dengan 23,920 kes aktif.

Dalam masa sama, sepanjang tempoh sebulan lalu, kes aktif Covid-19 di Selangor naik melambung 228 peratus.

Perbandingan kes aktif mengikut daerah antara tempoh 5 hingga 18 Jun dengan 7 hingga 20 Julai juga mendapati kes Covid-19 naik melebihi 220 peratus.

Semakan terhadap daerah paling teruk terjejas iaitu Petaling mendapati kes positif Covid-19 melonjak 225 peratus bahkan daerah kurang padat penduduk seperti Sabak Bernam melambung 246 peratus.

Sementara itu, hanya 49.2 peratus populasi di Lembah Klang iaitu merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat suntikan vaksin dos pertama setakat semalam.

Angka itu lebih rendah berbanding Labuan dan Sarawak yang masing-masing sudah mencapai 60.1 peratus dan 56.5 peratus populasi sudah menerima dos pertama.

Namun, pecahan peratusan bagi Selangor adalah lebih rendah daripada 49.2 peratus berbanding Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja masing-masing sudah mencapai 95.6 peratus dan 63.6 peratus setakat 17 Julai lalu.

Menurut laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKAV) yang hanya dikemaskini setakat 17 Julai, cuma 30.4 peratus populasi di Selangor menerima suntikan dos pertama.

Sebelum ini, pakar kesihatan sudah mengingatkan agar kerajaan segera mempercepat kadar vaksinasi di Selangor bagi memastikan penularan Covid-19 berada dalam keadaan yang terkawal.

Pakar virologi dari Universiti Malaya, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar pada 7 Julai lalu dilapor menganggarkan kira-kira 15 peratus daripada penduduk Selangor telah pun terdedah kepada jangkitan sekaligus mendapat imunisasi secara semula jadi.

Jelasnya, jika angka itu dicampurkan dengan individu yang mendapat suntikan vaksin, sekurang-kurangnya 40 ke 50 peratus kumpulan yang terlindung akan tercapai seterusnya menurunkan kadar positif dan kadar kematian.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dalam sidang media khas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya, 16 Julai lalu berkata, kadar pemberian vaksin menerusi ‘operasi lonjakan kapasiti’ akan dijalankan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menerusi ‘operasi lonjakan kapasiti’, Khairy berkata, akan memastikan setiap individu dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor yang seramai 6.1 juta menurut maklumat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menerima sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos.