Malaysia Dateline

Kematian Allahyarham Mohd Zahir kes terpencil, kata TDM

Kematian Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang meninggal dunia semasa melaksanakan latihan keupayaan TDM pada September lalu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil.
Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan keputusan tersebut yang dimuktamadkan oleh Lembaga Siasatan bahawa ianya merupakan kemalangan dalam latihan.
“Lembaga siasatan telah dimuktamadkan dan keputusan lembaga mendapati insiden berkenaan diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil dan ianya merupakan kemalangan dalam latihan.
“Pihak ahli lembaga turut mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut berada dalam keadaan baik.
“TDM akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya terhadap individu yang terlibat, sementara Operasi Standard Prosedur (SOP) dikemaskini jika perlu,” katanya.
Tambahnya, latihan untuk memperkasakan TDM akan diteruskan khususnya bagi meningkatkan keyakinan semua warga TDM terhadap peralatan dan kelengkapan yang sedia ada.
Dari aspek kebajikan terhadap Allahyarham Mejar Mohd Zahir dan keluarga, Allahyarham telah disokong untuk dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel oleh Majlis Angkatan Tentera Ke-578 (MAT 578) yang telah bersidang pada 17September 2019, tertakluk kepada kelulusan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Kata kenyataan itu, TDM telah menghulurkan bantuan yang sewajarnya terhadap balu Nour Shafinar Harun serta ahli keluarga sejak hari pertama insiden berkenaan berlaku.
Beliau dan keluarga juga akan terus diberi bantuan dan faedah yang sewajarnya mengikut kelayakan yang telah ditetapkan di dalam perkhidmatan TDM.