Kematian Cikgu Istiqomah disyaki ada kaitan urusan pelaburan Forex, rakan universiti jadi dalang?

Oleh MALAYSIADATELINE

Pembunuhan seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi yang mayatnya ditemukan tanpa kepala dalam tong sampah pada 31 Disember lalu disyaki didalangi oleh kenalannya ketika sama-sama belajar di universiti.

Kenalan lelaki yang pernah bekerja sebagai guru sebelum berhenti untuk menjadi pedagang mata wang asing (Forex) itu dipercayai mempunyai urusan berkaitan pelaburan Forex dengan mangsa.

Mangsa dikenali sebagai Cikgu Istiqomah yang bertugas di Sekolah Kota Masai 3 dekat Pasir Gudang, Johor itu mulanya dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak 26 Disember, tahun lalu.

Kereta milik ibu kepada tiga cahaya mata itu turut dijumpai di kawasan pasar raya Lotus Kota Masai, Pasir Gudang, sehari selepas kehilangannya kira-kira pada pukul 2 petang.

Tidak lama kemudian, orang awam menemukan mayat tidak lengkap anggota badan termasuk kedua-dua tangan dan kaki pada 31 Disember 2023 di longkang tepi Jalan Alor Gajah-Tampin, berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah.

Hasil siasatan polis secara berterusan sejak penemuan mayat berkenaan membawa kepada penahanan sepasang suami isteri di Chemor, Perak sebelum mereka ditahan reman pada 6 Ogos lalu, lapor Berita Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, identiti mayat wanita itu dikenal pasti sebagai seorang guru berusia 33 tahun iaitu Istiqomah Ahmad Rozi yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Jelasnya, pengesahan identiti itu adalah hasil siasatan dan ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dijalankan Bahagian Data Bank/DNA (D13), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ke atas ibu mangsa.

Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Poli Daerah Alor Gajah mula menjalankan risikan.

Susulan itu, polis berjaya menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu dan direman selama enam hari bermula 6 Ogos lalu hingga hari ini.

“Hasil ujian yang dijalankan pada 2 Ogos lalu mendapati DNA wanita terbabit adalah sepadan dengan sampel diambil daripada mayat tidak lengkap dan tanpa identiti itu.

“Siasatan lanjut dijalankan ke atas suspek membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tengkorak dan tulang jari kira-kira enam kilometer dari kawasan tempat mayat mangsa dijumpai.

“Reman ke atas suspek lelaki disambung selama tujuh hari lagi bermula hari ini hingga 18 Ogos bagi melengkapkan siasatan manakala isterinya dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada kaitan dengan kes,” kata Ashari.

Mengulas lanjut, Ashari mendedahkan bahawa suspek lelaki berkenaan adalah kenalan mangsa ketika belajar di universiti dan mereka juga ada berhubung berkaitan pelaburan mata wang Forex.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya ke Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Baca juga: Pemuda jumpa gelang emas 916 dalam tangki septik, rupanya usia dah lebih 20 tahun