Kematian Morsi: AMANAH seru dunia perjuang hak asasi manusia

Kematian Morsi: AMANAH seru dunia perjuang hak asasi manusia

Parti Amanah Negara (AMANAH) menzahirkan rasa sedih terhadap kematian bekas Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi selepas dilaporkan pengsan di dalam mahkamah dan meninggal dunia selepas itu.

Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir turut meluahkan kebimbangan terhadap kematian tokoh itu yang dilihat berpotensi menyebabkan lebih banyak tentangan.

Susulan kematian bekas presiden Mesir Mohamed Morsi, Anuar berkata selain tentangan yang dihadapi, pemberontakan dalam kalangan rakyat juga dibimbangi akan menyebabkan lebih banyak rusuhan dan pergeseran di Mesir.

“AMANAH ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Mohamed Morsi dan seluruh pemimpin Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP).

“Dunia akan terus mengingatinya sebagai orang yang berani menghadapi rejim tidak bermoral, Hosni Mubarak, dan memimpin negara itu (Mesir) walaupun menyedari tentang cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi.

“Beliau ditindas secara kejam pada 2013 oleh rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Abdul Fattah Al-Sisi selepas dipilih sebagai Presiden oleh warga Mesir pada tahun 2012,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut berkata, walaupun dengan pemerintahan yang singkat, Morsi telah memulihkan amalan demokrasi dan memperjuangkan hak-hak kemanusiaan, terutama dalam mempertahankan hak rakyat Palestin untuk mendapatkan semula tanah air mereka.

Namun katanya, selepas penangkapannya, Morsi dilaporkan telah diseksa secara kejam di dalam tahanan,malah permintaannya untuk membaca Al-Quran juga dinafikan.

“Tekanan dan penindasan yang dilakukan oleh rejim Mesir terhadap para pemimpin dan anggota Ikhwanul Muslimin serta tahanan politik lain juga dihadapi oleh Morsi ketika haknya ditolak sepenuhnya untuk mendapatkan rawatan perubatan, penjagaan kesihatan, akses komunikasi dengan peguam, keluarga dan para pemimpin.

“Oleh kerana kezaliman dan ketidakadilan ini, AMANAH menyeru kepada semua negara di dunia, mana-mana organisasi yang berjuang untuk hak asasi manusia, dan mereka yang cintakan kedamaian untuk menyatakan protes mereka, dan mendesak rejim Mesir untuk kembali ke demokrasi dan ekuiti,”ujarnya.